28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

BANTUAN SUBSIDI…..Penduduk Labuan berterima kasih

JAFERY…. menzahirkan rasa syukur kerana dapat membeli telur dan minyak masak dengan harga bantuan subsidi kerajaan.

LABUAN: Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan khususnya golongan yang kurang berkemampuan berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan  (KWP) atas inisiatif memberikan bantuan subsidi barangan keperluan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Walaupun setakat ini hanya dua jenis barangana iaitu telur ayam dan minyak masak yang diberikan bantuan  subsidi, namun ia sudah cukup memberikan kelegaan kepada pengguna di pulau ini, itu yang diluahkan oleh beberapa pengguna ketika ditemui di beberapa pasaraya di sini, kelmarin.

Menurut seorang pengguna Jafery Kassim, 55, berterima kasih kepada kerajaan kerana memahami masalah  penduduk Labuan yang  terkesan dengan kenaikkan harga barangan  keperluan yang begitu tinggi.

“Saya bersyukur dan menyambut baik  usaha kerajaan ini kerana rakyat khususnya yang kurang berkemampuan dapat menikmati harga yang lebih murah berbanding dengan harga asal yang dijual kepada pengguna terutamanya semasa kita membuat persiapan Hari Raya” katanya.

Sementara itu seorang lagi pengguna, Hazlina Burhan, 35  berharap inisiatif sedemikian dapat diteruskan agar memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat.

“Usaha kerajaan   ini memang sesuatu yang ditunggu-tunggu terutamanya kepada mereka yang kurang berkemampuan dan kita harapkan pada masa hadapan lebih banyak lagi barangan dapur yang menjadi keperluan utama dapat diberikan subsidi” katanya.

Seorang lagi ibu tunggal yang memiliki empat anak yang hanya dikenali sebagai Supiah  turut bersyukur dan berterima kasih   atas keprihatinan kerajaan yang  memberikan harga subsidi bagi telur ayam dan minyak masak.

“Bantuan subsidi ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami sekeluarga yang hanya bergantung kepada bantuan bulanan MAIWP” katanya.

Untuk rekod, Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim  dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  telah bersetuju dan melaksanakan bantuan  subsidi kepada warga Labuan bagi pembelian telur ayam dan minyak masak.

Kementerian Wilayah telah mengambil inisiatif untuk menghantar barangan tersebut ke Labuan mengunakan penerbangan ihsan TUDM.

Shahidan Kassim dalam satu kenyataan baru-baru ini menjelaskan Kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pertahanan akan menghantar sebanyak 1.25 juta telur ayam dan 42,500 paket minyak masak bersubsidi  secara berperingkat  menerusi lima kali penerbangan ihsanTUDM.

Penerbangan peringkat pertama telah pun tiba  tiga hari lalu dengan membawa sebanyak 250,000 biji telur ayam dan 8,500 paket minyak masak dan telahpun diedarkan kepada pasaraya  untuk dijual kepada pengguna.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN