ADVERTISEMENTspot_img

BANJIR TERBURUK DI PAITAN: BANTUAN AWAL DATUK JAMES RATIB GERAK SEJURUS TERIMA LAPORAN

TINDAKAN PANTAS… James (kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada sebahagian penduduk terjejas banjir di Paitan.



PAITAN: Tindakan pantas Datuk James Ratib selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut dalam menggerakkan bantuan awal menjadi antara langkah terawal susulan banjir besar yang melanda daerah ini akibat hujan lebat di daerah itu.

James yang juga Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, sebaik sahaja menerima laporan mengenai peningkatan paras air sungai sehingga melepasi tahap bahaya, beliau terus mengarahkan jentera di peringkat kawasan digerakkan bagi membantu mangsa, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut.

JAMES turut turun melawat kawasan dilanda banjir di Paitan bersama pihak keselamatan.



“Banjir kali ini antara yang terbesar pernah direkodkan di Paitan. Lebih 2,000 rumah terjejas dan sebahagian besar kawasan terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun jaringan komunikasi,” katanya selepas meninjau beberapa kampung terjejas, hari ini.

Menurut beliau, penyelarasan segera dilakukan bersama pegawai kawasan, pemimpin masyarakat dan pihak keselamatan bagi memastikan bantuan asas seperti bakul makanan, air bersih dan keperluan harian dapat dihantar tanpa berlengah ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta kampung-kampung yang terjejas.

Dalam usaha memastikan penduduk tidak terputus hubungan, beliau turut mengarahkan Sabah Net Sdn Bhd memasang kemudahan internet satelit Starlink di beberapa kampung yang terjejas teruk, bagi membolehkan komunikasi dengan pihak berkuasa dan ahli keluarga diteruskan.

JAMES menyerahkan perahu dan enjin sangkut untuk kegunaan antuan dan kecemasan


Selain itu, sebanyak 15 unit enjin sangkut dan perahu diserahkan kepada pemimpin masyarakat setempat bagi memperkukuh operasi menyelamat serta mempercepat penghantaran bantuan ke kawasan yang tidak dapat diakses melalui jalan raya.

Sementara itu, tiga daerah iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan peningkatan paras air sungai ke tahap berbahaya.

Pengisytiharan dibuat masing-masing oleh Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara; Pegawai Daerah Pitas, Asdi @ Mohd Faizal Hussin; dan Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu pada jam 6 pagi pada Jumaat, berdasarkan laporan serta maklumat lapangan daripada agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada, mematuhi arahan pemindahan dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN