Ellron bersama rombongan semasa melawat mangsa banjir di PPS Dewan SK Pekan 2.
SOOK: Hari ini (Ahad) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Angin turun padang ke Mukim Ansip bagi melawat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan SK Pekan 2 dan Dewan Kampung Membulu.
Setakat jam 4.00 petang tadi (Ahad) seramai 763 orang penduduk daripada 241 keluarga telah terjejas yang melibatkan 5 buah kampung di Mukim Ansip.
Menurut Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan, berdasarkan perkembangan semasa, jumlah penduduk yang terjejas di kedua-dua PPS semakin meningkat.
Pada masa sama beliau mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama erat beberapa agensi serta jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah Sook, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Anggota Rela, Anggota Pertahanan Awam (APM), PDRM, UPPM N.45 bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat makanan, minuman juga tempat tinggal sementara.
Pada masa sama beliau merakamkan penghargaan kepada mereka yang berbesar hati menyumbangkan bantuan yang diperlukan seperti air minuman dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Kita mengharapkan agar bencana banjir di kawasan yang terjejas akan beransur pulih dan mereka yang terkesan akan kembali ke rumah masing-masing seperti sedia kala” katanya.
Dalam lawatan itu Ellron diiringi oleh Ketua-Ketua Jabatan Daerah Sook.



