26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

“Ayuh warga Keningau, semarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan, sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos ini” – Robert

Robert Tawik

KENINGAU : Warga Keningau di seru agar turut sama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik dalam satu kenyataan media berkata, kempen Kibar Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sedang giat dijalankan dan sudah tentu ianya diraikan oleh semua kaum di negara ini dengan meriah sekali.

“Perayaan ini kita sambut setahun sekali dan semoga kita semua rakyat Sabah menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini kerana tahun ini agak istimewa sedikit di mana kerajaan telah mewartakan tarikh 31 Ogos ini yang juga merupakan sambutan Hari Sabah merdeka yang pertama kali selepas diwartakan pada 5 Jun lepas” katanya.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah berkata, sebagai penjawat awam, semangat kemerdekaan ini harus ada di dalam diri setiap individu dan semangat cintakan negara harus terus disemai di peringkat akar umbi khususnya anak-anak muda juga tidak terkecuali.

Beliau menyeru agar seluruh warga menyahut seruan kerajaan di mana amalan ‘Satu Rumah-Satu Bendera’ dipraktikkan.

“Janganlah terlalu mengharapkan sumbangan bendera dari jabatan kerajaan ataupun dari mana-mana sumber secara percuma, bukannya mahal pun untuk di beli dan dimiliki.

Membeli atau memiliki bendera kebangsaan ataupun bendera Sabah merupakan satu semangat yang terpuji dan inilah sumbangan kita secara peribadi demi membalas jasa bakti para pejuang kemerdekaan yang terdahulu yang bersusah payah mendapatkan kebebasan (kemerdekaan) untuk tanahair tercinta” katanya.

Beliau melahirkan harapan agar kesemua premis kerajaan mahu pun swasta akan turut sama mengibarkan bendera Malaysia dan juga bendera Negeri Sabah di setiap premis mereka termasuklah rumah-rumah kediaman masing-masing.

“Tidak ketinggalan juga kepada semua penduduk kampung yang ada di daerah Keningau ini, marilah kita semarakkan jiwa merdeka dengan mengibarkan bendera keramat negeri dan negara.

Gantikan bendera yang sudah usang dan warnailah sambutan kemerdekaan kita dengan semangat yang patriotik demi Tanahair tercinta,” jelasnya lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN