TIBA…Datuk James (kiri, baju hitam) tiba di Kg.Botition, Paitan kira-kira 1.30 petang tadi dari Kota Kinabalu bersama van yang membawa jenazah ayahnya: Foto oleh: Steven Lai ThenFuk
KOTA KINABALU: Ayah kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah meninggal dunia awal pagi ini di Kota Kinabalu.
Berita itu disahkan sendiri anak sulung Allahyarham iaitu Datuk James Ratib, pagi tadi menerusi catatan di laman Facebook beliau.
Allahyarham Latib@Ratib bin Jikrun, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Damai, dekat sini kira-kira 4.40 pagi tadi dipercayai akibat kanser hati.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, Jenazah ayahnya telah dibawa ke kampung halaman di Botition, Paitan untuk urusan pengkebumian pada hari ini.
Jenazah dibawa ke Masjid Botition untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan : Foto oleh: Steven Lai ThenFuk
Dalam pada itu, James menyifatkan pemergian bapanya sebagai satu kehilangan besar buat dirinya dan keluarga.
“Allahyarham ayah saya merupakan idola dan inspirasi anak-anak dalam menjalani kehidupan, juga merupakan insan yang cekal dalam membesarkan anak-anak,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kenalan serta orang ramai yang telah menyampaikan ucapan takziah atas pemergian ayahnya.
“Saya sekeluarga tidak mungkin dapat membalas semua pesanan yang diterima, apapun saya begitu terharu dan berterima kasih di atas ucapan serta doa kalian,” tambahnya.