Nor Rashidah ketika ditemui media.
KOTA KINABALU: Sebanyak 40 kenderaan diesel dan 56 motosikal diperiksa dalam Ops Gerak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Ozon 2025 Peringkat Negeri Sabah yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan.
Pengarah JAS Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun dan lima notis arahan terhadap pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“PDRM, melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Kinabalu, turut mengeluarkan 23 saman atas pelbagai kesalahan kenderaan.
“JPJ mengeluarkan 80 notis, manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan 30 pemeriksaan dan semuanya didapati lulus,” katanya kepada media selepas Ops Gerak Kenderaan Motor di Jalan Tun Fuad Stephens, Taman Awam Likas, pada Isnin.

OPS GERAK…pegawai penguatkuasa JAS ketika memeriksa asap kenderaan.
Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan semua kenderaan bermotor di negeri ini mematuhi piawaian pelepasan asap, tahap kebisingan serta pengendalian bahan penipis ozon seperti diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Operasi ini memastikan kenderaan di Sabah benar-benar mematuhi kawal selia pelepasan asap, bunyi bising dan pengendalian bahan penipis ozon.
“Hari ini, tumpuan diberikan kepada pemeriksaan motosikal berlebihan bunyi bising serta pelepasan asap hitam kenderaan diesel milik syarikat perdagangan,” ujarnya.
Beliau juga menasihatkan semua pemilik kenderaan diesel termasuk syarikat pengangkutan awam dan persendirian agar melakukan penyelenggaraan enjin secara berkala, menggunakan minyak pelincir berkualiti serta memastikan sistem ekzos, catalytic converter dan komponen lain berada dalam keadaan baik.
Ops Gerak Kebangsaan Kenderaan Motor sempena Sambutan Hari Ozon 2025 Peringkat Negeri Sabah dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan. /Penerangan



