KAPTEN Nudin bersama dua pegawainya menunjukkan dua bungkusan dadah yang dicampak ke laut di perairian Siptang pada Isnin.
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan yang sedang melaksanakan penugasan Ops Benteng dan Ops Khas Pagar 1/2022 merampas dua bungkusan dadah dipercayai jenis Syabu yang dicampak ke laut di perairan Sipitang, pada Isnin.
Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, dadah tersebut ditemui selepas dicampak oleh juragan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik dihampiri, juragan bot berkenaan telah membuang sebuah bungkusan ke laut dan terus memecut melarikan diri… bot peronda Maritim cuba mengejar bot berkenaan namun pergerakan terbatas akibat faktor perairan yang cetek.
“Bot peronda kemudian berpatah balik untuk mengesan bungkusan yang dibuang dan menemukan sebuah bungkusan plastik berwarna putih yang mengandungi 2 paket dadah dipercayai jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Beliau berkata, dadah jenis syabu seberat 49 gram itu yang ditemui pada jam 2.30 pagi, di bawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub didalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku jenayah di perairan negara,”jelasnya.



