Anggota Rela yang hadir merakam gambar bersama Datuk Jonathan (duduk depan dua kiri).
RANAU: Para anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), disaran agar sentiasa mengamalkan disiplin diri yang tinggi, berintegriti dan menjauhi diri daripada sebarang salah lagu yang boleh merosak dan mencemarkan nama baik pasukan seperti salah gunakuasa dan terlibat dengan kes Rasuah.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, sebagai antara pelapis menjaga ketenteraman dan keselamatan awam hendaklah sentiasa membudayakan dusiplin diri yang terbaik demi nama baik Jabatan serta pasukan Rela seluruhnya.
“Saya amat mengharapkan kepada setiap anggota Rela agar bijak, ikhlas, jujur dan berintegriti sepanjang masa menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.
Jonathan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengurusan Platun Rela Daerah yang telah diadakan selama dua hari (17-18 Mei) di Kampung Molinsou, di sini.
Menurut Jonathan, peranan Rela dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat amat penting dan disanjung tinggi menerusi kerjasama pasukan serta pematuhan disiplin adalah antara keutamaan.
Peranan Rela katanya, bukan sahaja bertugas di lokasi seperti kunjungan orang kenamaan, dan mengawal keselamatan awam malah sering menjalankan tugas mencari dan menyelamat mangsa yang hilang (sesat) di hutan dan mangsa banjir.
Hadir dan berucap sama pada majlis tersebut, ialah Pegawai Rela Daerah (PRD) Ranau, Ramdan Bin Raidin.
Program tersebut telah dihadiri lebih 50 orang anggota Rela daerah Ranau.



