KOTA KINABALU: Siasatan pantas polis terhadap kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi sekitar Taman Indah Permai membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, dipercayai anak kandung kepada suspek utama, dalam operasi lewat malam tadi.
Lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu diberkas kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah di Sepanggar dalam operasi bersepadu membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama pasukan Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.
Penahanan suspek kedua itu menyusul kurang 24 jam selepas bapanya yang berusia lingkungan 70-an ditahan kira-kira jam 5 petang semalam, sejurus selepas penemuan mayat mangsa dilaporkan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.
“Suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sebelum ini, suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu,” katanya hari ini.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kes berkenaan dianggap selesai dari segi tangkapan, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Terdahulu, mayat wanita berusia lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang secara berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.
Penemuan awal melibatkan bahagian tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum operasi pencarian diteruskan, yang kemudian membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran.



