28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 13, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

AMD memainkan peranan penting sebagai perantara: Jeffrey

Jeffrey (duduk ketujuh dari kanan) bersama Robert (keenam dari kanan), Flovia (kelima dari kanan), Anunuar (ketujuh dari kiri), Peter (keenam dari kiri) dan Abraham (kelima dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Ahli-Ahli Majlis Daerah Keningau.

KENINGAU: Ahli Majlis Daerah memainkan peranan penting sebagai perantara antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, tanggungjawab ini merangkumi pelbagai aspek dari soal pembangunan fizikal, kebajikan rakyat hingga kepada memupuk keharmonian dan perpaduan dalam komuniti.

Katanya, pelantikan Ahli Majlis Daerah bukan semata-mata satu penghormatan, tetapi juga satu amanah besar.

“Ahli-Ahli Majlis Daerah merupakan wakil suara rakyat di peringkat akar umbi. Peranan anda adalah penting dalam memastikan segala dasar, program dan perancangan pembangunan yang digariskan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat” jelasnya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Angkat Sumpah Dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Keningau (MDK) Sesi 2025 – 2027 di Bilik Mesyuarat MDK di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, pelantikan ini adalah satu amanah yang besar dan memerlukan komitmen, integriti, serta semangat khidmat kepada masyarakat.

“Ia juga merupakan satu pengiktirafan besar daripada Kerajaan Negeri terhadap kebolehan, komitmen dan potensi anda dalam membantu melaksanakan agenda pembangunan di daerah ini” katanya.

Oleh itu tegasnya, segala keputusan dan tindakan perlulah dibuat dengan penuh keikhlasan, kebertanggungjawaban dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa berusaha memastikan bahawa dasar dan inisiatif pembangunan yang digariskan dalam kerangka Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan secara inklusif dan berkesan.

Ini katanya, termasuk memperkasa pentadbiran di peringkat daerah dan memberikan tumpuan khusus kepada daerah luar bandar.

“Kita mahukan sebuah pentadbiran kerajaan tempatan dibawah Majlis Daerah yang progresif, telus dan mesra kepada masyarakat.

Oleh itu, marilah kita berganding bahu tidak kira latar belakang politik atau kaum, untuk memastikan setiap dasar yang digubal benar-benar memberi manfaat kepada seluruh penduduk sekitar dan masyarakat tempatan” katanya.

Pada masa sama Jeffrey menyeru Ahli-Ahli Majlis Daerah agar menghayati konsep “Sabah Maju Jaya” dalam setiap tindakan yang diambil dan jangan biarkan birokrasi menghalang kecekapan perkhidmatan awam di peringkat tempatan.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi  tahniah kepada semua Ahli Majlis yang baharu dilantik.

“Saya yakin dengan iltizam, semangat dan pengalaman anda semua, kita dapat bersama-sama membangunkan daerah Keningau ini kearah yang lebih gemilang.

Sesungguhnya, inilah masa untuk kita menyumbang demi kemajuan dan kesejahteraan Daerah Keningau yang tercinta” kata Jeffrey.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor
yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik, ADUN Tulid
yang juga Pembantu Menteri Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, ADUN Liawan yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd.
Datuk Annuar Ayub, Abraham Angkimoh mewakili ADUN Sook yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin, Pegawai Daerah Keningau yang juga Pengerusi Majlis Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil, Pegawai Eksekutif, Majlis Daerah Keningau Mohd Fawzi bin Abdul Kadir dan Ketua-Ketua Jabatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN