28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 13, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Alumni SMK Gunsanad II berjaya anjur Perkhemahan STEM

Aktiviti Kinetic Car yang direka menggunakan bahan kitar semula.


KENINGAU – Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Gunsanad II Keningau (Alumni G2) telah menganjurkan Perkhemahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad II Keningau yang melibatkan 60 orang murid tingkatan 4 SMK Gunsanad II Keningau.

Perkhemahan ini telah dianjurkan dengan kerjasama pihak sekolah sendiri, Pusat Persediaan Sains & Teknologi Universiti Malaysia Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan Persatuan Kebajikan Generasi Masa Hadapan Sabah (GENMAPAN).

Uniknya, perkhemahan selama dua hari satu malam ini telah dikendalikan oleh bekas murid SMK Gunsanad II Keningau sendiri yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat tingkatan 6, Cik Salbiah Jeffary @ Jeffry yang merupakan pengarah program.

SMK Gunsanad II Keningau merupakan sekolah luar bandar yang mana murid – muridnya secara majoriti berasal dari kawasan pedalaman seperti Pensiangan, Kampung Dalit dan Kampung Senagang.

Saban tahun, prestasi akademik dan minat murid – murid terhadap bidang STEM berada pada tahap yang kurang memuaskan. Perkara berkenaan didapati berpunca daripada kurangnya pendedahan murid – murid terhadap bidang STEM.

Justeru, sebagai langkah intervensi untuk meningkatkan kesedaran murid – murid terhadap kepentingan dan potensi kerjaya dalam bidang STEM, seiring dengan saranan kerajaan yang ingin merancakkan penglibatan masyarakat dalam bidang STEM, perkhemahan ini telah dianjurkan.

Puan Hajah Noormah binti Haji Tahir, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum SMK Gunsanad II Keningau yang juga merupakan guru penyelaras STEM mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah terutamanya kepada Persatuan Alumni SMK Gunsanad II Keningau di atas kejayaan penganjuran perkhemahan ini.

“Pihak sekolah berharap agar kolaborasi dan program seperti ini akan dapat diteruskan lagi di masa hadapan dalam memberi pendedahan STEM yang lebih luas dan peluang kemajuan yang lebih tinggi buat murid – murid SMK Gunsanad II,” katanya.

Di akhir perkhemahan, murid – murid memberikan maklumbalas bahawa perkhemahan ini telah memberikan mereka ilmu dan pendedahan yang sangat baik terhadap STEM. – Oleh: Dr. Muhd Shafeiq bin Muhammad Asri
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN