27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Aktiviti perladangan mampu melahirkan modal insan celik ilmu, berwawasan: James Ratib

SAMPAI ANUGERAH…James menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang SPM Tahun 2021 dari kalangan anak Ahli Peladang Daerah Beluran

BELURAN: Aktiviti perladangan mampu melahirkan modal insan yang celik ilmu dan berwawasan untuk membantu kemajuan pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Menegaskan perkara itu, Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, golongan peladang merupakan antara individu yang mampu memperolehi pendapatan lumayan setiap bulan dan boleh menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan ke tahap tertinggi sama ada diperingkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau swasta.

“Saya percaya melalui perladangan seperti penanaman kelapa sawit, getah dan kebun buah-buahan, golongan peladang memperolehi pendapatan yang lumayan setiap bulan. Melalui pendapatan itu, maka masa depan pendidikan anak-anak turut terjamin kerana anda boleh menghantar mereka bersekolah ke tahap lebih tinggi selepas menamatkan persekolahan menengah kelak”. Jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran Kali Ke-19 Tahun 2022 yang berlangsung di Bilik Seminar agensi itu pada Jumaat lepas.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah PPK Beluran Zamli Ismail, Pegawai Muis Cawangan Sandakan, Safruddin Manshuruddin, Ahli Lembaga Pengarah Peladang Beluran serta Ahli-Ahli Peladang Daerah Beluran.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata, peladang turut disarankan untuk mempelbagaikan produk tanaman dan berani untuk menceburi bidang baru seperti penanaman Sacha Inci bagi menambah pendapatan sedia ada.

Katanya, penanaman Sacha Inci antara produktiviti perladangan baru yang menjana pendapatan lumayan ekoran permintaan tinggi di pasaran dalam dan luar negara.

Justeru, beliau menasihatkan agar peladang membuang sikap malu untuk bertanya dengan mana-mana peladang Sacha Inci di daerah-daerah lain bagi mendalami ilmu mengenai penanaman tumbuhan berkenaan.

“Jangan malu untuk bertanya dengan peladang lain di luar daerah kita. Sebagai contoh, terdapat petani Sacha Inci di daerah Keningau yang mengusahakan tanaman itu secara komersial. Anda boleh mendapatkan ilmu dikawasan itu dan sudah pasti amalan berkongsi ilmu bakal membuahkan hasil”. Jelasnya.

Dalam majlis itu, James turut menyampaikan beberapa anugerah antaranya Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2021 kepada lima orang pelajar dari kalangan anak-anak ahli peladang, Anugerah Peladang Jaya 2021,Anugerah PeladangNita 2021,Anugerah Unit Peladang Contoh dan Anugerah Kakitangan PPK Beluran.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN