LIEW….
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong disahkan koma dipercayai akibat jangkitan radang paru-paru.
Perkara itu disahkan oleh salah seorang pegawainya kepada Utusan Malaysia.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tiada perkembangan terbaru yang diterimanya setakat ini.
“Ya,” katanya ringkas ketika ditanya apakah Vui Keong kini berada dalam keadaan koma.
Difahamkan, Vui Keong dimasukkan ke Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah selepas mendapat jangkitan radang paru-paru.
Kakitangan itu berkata, Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) sempat berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
“Namun pada akhir-akhir tempoh berkempen, YB (Yang Berhormat) sudah mula sakit dan saya tidak lagi mendengar perkembangan terbaru sebab YB berada di Batu Sapi. Saya pula jaga Penampang, ia jauh seperti utara dan selatan.
“Saya pun tidak mahu ulas panjang tentang perkara ini, sebab lebih baik isteri beliau sendiri yang bercakap mengenainya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Vui Keong merampas kerusi Parlimen Batu Sapi di bawah tiket Warisan daripada calon Parti Bersatu Sabah, Datuk Linda Tsen Thau Lin dengan majoriti 4,619 undi.