DIRAWAT...Salah seorang warga asing yang terlibat dalam pergaduhan sekitar Isnin lepas.
KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Di Raja Malaysia (PDRM) agar segera menjalankan siasatan mengenai penularan klip video kejadian pergaduhan yang didakwa berlaku di kawasan Pasar Malam Pekan Keningau sekitar isnin lepas.
Tegasnya, penularan klip video berdurasi lebih kurang 35 saat yang tular di beberapa laman media sosial perlu segera disiasat kesahihannya bagi mengelak sebarang provokasi melampau diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu membuat tindakan esekutif sewajarnya terhadap suspek yang terlibat sekiranya wujud unsur jenayah yang boleh diambil tindakan mengikut perundangan sedia ada.
‘’Saya ada melihat senario yang berlaku dalam klip video berkenaan, kononnya kejadian berlaku di kawasan Pasar Malam Pekan Keningau, ia membabitkan suatu pergaduhan antara beberapa individu dan hal ini perlu segera di siasat oleh pihak berkuasa khasnya PDRM’’, tegasnya.

Sementara itu, Robert turut menasihatkan agar semua pihak di daerah ini sentiasa peka terhadap keselamatan semasa dengan tidak meniup sebarang sentimen perkauman dan agama dikalangan masyarakat. Katanya, hidup bermasyarakat perlu suasana harmoni dan sentiasa berkerjasama dalam mengekalkan keamanan sejagat. Kunci untuk mencapai misi itu adalah sikap saling hormat menghormati dikalangan masyarakat pelbagai etnik dan anutan agama.
‘’Janganlah ada pihak yang cuba untuk meniup sentimen perkauman dan agama dikalangan masyarakat kita. Budaya saling menghormati adalah amalan kita sejak turun-temurun, ia perlu dikekalkan sampai bila-bilapun’’, katanya ketika dihubungi di Pejabat wakil Rakyat N.40 Bingkor.
Pada selasa, satu klip video telah tular di media sosial yang memaparkan adengan pergaduhan membabitkan beberapa individu yang dikatakan rakyat tempatan dan rakyat asing. Beberapa pihak menyatakan kejadian berkenaan berlaku di kawasan Pasar Malam daerah Keningau dan menjadi perhatian ramai pihak.
End-