ABIDIN MADINGKIR
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di atas respon dan tindakan segera untuk membaiki jambatan konkrit merentasi Sungai Tahubang, di Kampung Nampasan Lama di sini yang runtuh pada awal pagi Isnin.
Abidin ketika dihubungi Borneo Daily Bulletin, berkata, tindakan segera JKR untuk membaiki jambatan berkenaan amat diharapkan memandangkan ianya merupakan nadi perhubungan utama penduduk dari beberapa kampung sekitar.

“Apa yang penting ialah untuk mempercepatkan pembaikan semula jambatan ini seperti yang dinyatakan Menteri Kerja Raya Sabah, Dato Sri Bung Moktar Radin, hari ini.
“Selain penduduk kampung, jambatan yang runtuh dipercayai akibat hakisan itu juga adalah laluan pelajar dan guru ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nampasan.
“Ketiadaan jambatan itu yang menghubungan beberapa buah kampung dalam Mukim Suminimpod, turut menyukarkan perjalanan ratusan penduduk di situ setiap hari,” katanya.
Abidin yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, berharap agar syarikat konsesi di bawah JKR dapat membantu membaiki jalan-jalan di kawasan tersebut walaupun bukan di bawah seliaan jabatan itu.
“Terdapat tiga rangkaian jalan di Kg. Suminimpod, salah satunya Jalan Suminimpod 2 yang terputus dan telahpun dibaiki oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, hari ini.
“Selaku wakil rakyat di kawasan ini, saya ucapkan terima kasih kepada KPLB Sabah, dan dalam masa yang sama, saya juga memohon bantuan JKR untuk membaiki dua lagi jalan di sini yang hampir putus, iaitu di Jalan Suminimpod 1 dan Suminimpod 3,” tambah Abidin.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Bung berkata, JKR Sabah akan mengambil tindakan segera, bagi membaiki jambatan konkrit yang runtuh di kampung Nampasan, Ranau.
Menurut Bung, beliau telah pun menerima laporan tersebut dari JKR Ranau mengenai kejadian itu dan pihak JKR Ranau telahpun turun padang bagi memantau dan memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan yang dialami.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi pada Isnin, sebuah jambatan konkrit yang merentasi Sungai Tahubang di Kampung Nampasan Lama di sini, runtuh.
Berdasarkan laporan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, kejadian itu berlaku akibat hakisan pada abutmen jambatan berkenaan menyebabkan jalan tersebut tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.