26 C
Kota Kinabalu
Ahad, November 9, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Abidin memuji usaha penduduk bergotong-royong dirikan bangunan gereja

Abidin turut serta dalam menjayakan gotong-royong itu


RANAU: Semangat gotong-royong di kalangan penduduk kampung untuk mendirikan bangunan Gereja adalah satu usaha yang murni dan harus dicontohi, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.


“Masyarakat tempatan boleh berbangga kerana sikap bergotong-royong atau ‘misinggayat’ dalam Bahasa Dusun sudah lama dipraktikkan oleh masyarakat Dusun sejak dahulu lagi.


“Bukan sahaja amalan ini dapat mengeratkan ikatan silaturahim di kalangan masyarakat tetapi ia juga membuat kerja yang berat boleh menjadi ringan.


“Dalam konteks mendirikan bangunan gereja, usaha yang murni ini adalah salah satu cara kita untuk megerjakan ‘Pelayanan kepada Tuhan’,” kata beliau.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian semasa merasmikan dan bersama-sama dalam Gotong Royong Pembinaan Bangunan Gereja SIB Kg Ponulangon di sini baru-baru ini.


“Kita berharap dengan iman yang kuat, Gereja SIB Kg Ponulangon akan dapat disiapkan dengan jayanya. Sebagai Wakil Rakyat di sini saya akan cuba membantu di mana terdaya.


“Justeru, saya memberi saranan kepada penduduk di sini agar terus memohon bantuan daripada Kementerian Kewangan kerana peruntukan untuk pembaikan dan pembangunan gereja pada tahun depan telah dinaikkan kepada RM70 juta.


“Syabas dan tahniah kepada jemaat SIB Kg Ponulangon kerana walaupun anggotanya sedikit tetapi mempunyai jiwa yang besar untuk mendirikan gedung Gereja,” kata beliau


Dalam pada itu Abidin bersyukur kerana sekali lagi mendapat peluang untuk sampai ke Kg Ponulangon yang kini hanya mengambil masa kurang dari 15 minit dari jambatan Wallou ke Kg Ponulangon yang dahulunya harus berjalan kaki selama lebih kurang 3 jam.


Mengenai isu tanah di kawasan Wallou dan Ponulangon yang masih dalam kawasan FMU, katanya, surat kepada YAB Ketua Menteri telahpun dihantar untuk memohon supaya kawasan ini dapat dikeluarkan daripada kawasan FMU supaya penduduk kampung dapat memohon pememilikan tanah adat yang sudah lama mereka diami.


Beliau mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan Selamat Hari Natal 2024 dan Selamat menyambut tahun baru 2025 kepada semua rakyat di negeri ini, dengan pesanan bahawa ‘Pengharapan Tidak Mengecewakan’.


Sementara itu, Pengerusi Penaja, Pta. Korodig Dahil mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana sentiasa prihatin dengan keperluan gereja di sini.


“Walau pun jemaat SIB Kg Ponulangon hanya mempunyai 6 keluarga dan mempunyai anggota kurang dari 30 orang tetapi tetap bersemangat untuk mendirikan gedung Gereja SIB di sini, di mana sebahagian besar kos pembinaan dibiayai oleh YB Datuk Abidin Madingkir


“Gereja SIB ini dikira gereja penaja dengan secara rasminya Kawasan Nunuk Ragang akan diujudkan sekitar bulan Februari 2025,” kata beliau.


Turut hadir Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, KAN Dualis Porodtong, WKAN Petrus Kunsal, Pemaju Mukim Paus, Yasiri Bijin, pemimpin-pemimpin masyarakat setempat, dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN