27.7 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

ABIDIN MADINGKIR RASMI 4 CAWANGAN STAR PDM TINANOM

Gambar atas : Abidin (tengah) bersama sebahagian penduduk di 4 buah kampung tersebut

RANAU: Ketua Bahagian Star Paginatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, telah merasmikan 4 Cawangan STAR di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinanom, baru-baru ini.

Cawangan-cawangan terlibat ialah Kampung Panulangon, Kampung Nahaba, Kampung Nimbalai dan Kampung Tubau.

Berucap pada majlis perasmian yang diadakan di Balairaya Kampung Panulangon, Abidin yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, penubuhan cawangan tersebut adalah bertujuan untuk memantapkan lagi kedudukan parti di setiap kampung. Di samping memudahkan pengurusan ia juga dapat meningkatkan kerjasama yang baik di kalangan penduduk.

Menurutnya cawangan pertama yang telah dilancarkan sebelum ini ialah di Kampung Mindahuon Baru dan pada kali ini beliau bersyukur kerana para penduduk kampung yang berada dalam PDM Tinanom pula turut mengadakan program yang sama.

Beliau  berterimakasih kerana para penduduk khasnya di DUN Paginatan sudah mula memahami keperluan parti serta memberikan kerjasama untuk membentuk cawangan STAR di setiap kampung walaupun bagi di peringkat perlembagaan parti yang ada hanya penubuhan cawangan-cawangan PDM.

“Kita melihat bahawa jika dalam satu-satu PDM itu mempunyai banyak kampung sudah tentu akan menyukarkan para penduduk berhubung dengan ketua PDM masing-masing khususnya pada musim-musim pilihanraya. Tetapi dengan penubuhan cawangan-cawangan ini akan melancarkan lagi segala urusan berkaitan parti” katanya.

“Kita memberi kepercayaan penuh kepada semua ketua cawangan yang telah dilantik untuk terus berkolaborasi sesama sendiri dan ahli jawatankuasa masing-masing terutama sekali dalam usaha kita untuk menarik lebih ramai para belia berumur 18 tahun ke atas yang belum ada parti melalui pembukaan keahlian baru kepada mereka” katanya.

 “Syabas dan tahniah kepada pihak pelaksana kerana 4 cawangan STAR yang telah dibentuk iaitu Kampung Panulangon, Kampung Nahaba, Kampung Nimbalai dan Kampung Tubau telah digabungkan dalam satu majlis perasmian pada hari ini. Ini satu cara yang baik bukan sahaja memudahkan pengurusan bahkan menjimatkan masa kita. Kita berharap cara ini akan diikuti oleh kampung-kampung yang lain” ujarnya lagi.

GmAbidin menerima borang KK. Joehaile (Pengerusi Cawangan Penulangon)

Dalam pada itu, Abidin memohon maaf kepada semua penduduk di Kampung Panulangon dan penduduk di sekitar berhampiran kerana sejak kemenangan parti itu beliau tidak dapat turun padang untuk bersama penduduk disebabkan masalah pandemik. Kebanyakan  program terpaksa ditangguhkan untuk mengelak penularan. Namun begitu beliau percaya bahawa semua bantuan kebajikan yang telah diagihkan pada ketika itu telah sampai ke tangan penerima terutama sekali kepada mereka yang terkesan oleh Covid-19.

Turut disentuh dalam ucapannya ialah mengenai perkembangan politik di Sabah yang menurutnya masih ramai masyarakat terutama di kampung-kampung terpencil kurang pengetahuan tentang perkembangan semasa.

Justeru itu beliau menyampaikan makluman bahawa kedudukan politik di negeri Sabah pada masa kini semakin bertambah kukuh dan stabil sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan sebagai sebuah entiti parti. Komponen parti yang berada di bawah naungan GRS terdiri daripada BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) manakala Barisan Nasional merupakan rakan sekutu yang bersama-sama mentadbir kerajaan negeri.

Hadir bersama pada majlis itu ialah Ketua Daerah, Muhasip Hj. Ruman, Juis Konsuling (Setiausaha Bahagian), Winek Yuni (Ketua Wiranita), Dualis Porodtong (KAN), Yasiri Bijin (Pemaju Mukim Paus/Paginatan), Hillary Salmoen (Pemaju Mukim Tanah Rata), Sibin Keidau (Pemaju Mukim Suminimpod) dan Sainin Hamid (Pemaju Mukim Lohan/Bongkud).

Abidin turut menerima borang pembentukan cawangan daripada keempat-empat buah kampung tersebut yang terdiri daripada KK. Joehaile Rasimin (Pengerusi Cawangan Panulangon), Jerus Seligi (Pengerusi Cawangan Tubau), Lajitin Kindingon (Pengerusi Cawangan Nimbalai) dan Mizol Lubin (Pengerusi Cawangan Nahaba).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN