ADVERTISEMENTspot_img

Peranan Juru X-Ray Melangkaui Pengimejan Perubatan

Julita (tengah) menerima cenderamata daripada Sawal, disaksikan oleh Dr William

KOTA KINABALU: Juru X-Ray memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan meskipun sumbangan mereka kurang mendapat perhatian, khususnya dalam menyokong proses pengesanan penyakit, diagnosis, perancangan rawatan dan penjagaan pesakit.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, Juru X-Ray merupakan sebahagian penting daripada sistem kesihatan dengan tanggungjawab yang memerlukan kepakaran teknikal, pertimbangan klinikal, ketelitian serta rasa tanggungjawab profesional yang tinggi.

Beliau berkata, masyarakat lazimnya mengaitkan tugas Juru X-Ray dengan pengendalian peralatan sinar-X dan pengimbasan perubatan, sedangkan skop tanggungjawab profesion itu jauh lebih luas, khususnya dalam menyokong keputusan klinikal doktor serta memastikan pesakit menerima rawatan yang bersesuaian.

“Setiap prosedur pengimejan dan sesi radioterapi memerlukan perancangan teliti, ketepatan teknikal serta pertimbangan profesional. Semua aspek ini penting bagi menyokong diagnosis yang tepat dan memastikan rawatan diberikan mengikut keperluan klinikal pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Radiografi Sedunia 2026 di sini hari ini yang bertemakan “Radiographers: Empowering Patients, Advancing Healthcare” dan dihadiri kira-kira 120 orang Juru X-Ray diagnostik dan terapi.

Julita turut menekankan kepentingan aspek kemanusiaan dalam bidang radiografi, memandangkan pesakit yang menjalani prosedur pengimejan perubatan dan rawatan mungkin mengalami keresahan, ketidakselesaan atau kebimbangan.

“Selain tanggungjawab teknikal, Juru X-Ray turut memainkan peranan penting dalam membantu pesakit memahami prosedur perubatan, menangani kebimbangan mereka serta memastikan pesakit berasa selesa, dihormati dan selamat sepanjang proses rawatan,” katanya.

Beliau berkata, bidang kerjaya itu memerlukan keseimbangan antara kecekapan teknologi dan nilai kemanusiaan, memandangkan kemajuan peralatan perubatan serta kaedah rawatan seharusnya membawa kepada pengalaman pesakit yang lebih baik dan peningkatan hasil penjagaan kesihatan.

Seiring perkembangan pengimejan digital, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dan teknik radioterapi moden, Julita berkata, Juru X-Ray juga perlu terus komited meningkatkan pengetahuan serta kompetensi profesional masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi seharusnya melengkapi dan bukannya menggantikan pertimbangan profesional serta pendekatan penjagaan berpusatkan pesakit dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Juru X-Ray Malaysia (MSR), Ts Sawal Marsait dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr William Gotulis.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN