Deckson
NABAWAN: Kelewatan pelaksanaan Projek Menaik Taraf Jambatan Sungai Nabawan di KM 0.05, Jalan Kraftangan, Nabawan berpunca daripada masalah teknikal dan kegagalan prestasi kontraktor yang dilantik, bukannya disebabkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan, Deckson Anthony @ Andipai berkata, dakwaan yang cuba mengaitkan ADUN Nabawan dengan kelewatan projek berkenaan adalah tidak berasas dan mengelirukan orang ramai.
Beliau menjelaskan, projek pembinaan jambatan konkrit itu merupakan projek Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), bukannya menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri Sabah atau peruntukan ADUN Nabawan.
Katanya, projek berkenaan dipertanggungjawabkan dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang disahkan Jurutera Daerah JKR Nabawan, Ahmad Fairuz Yunus, projek itu bermula pada 14 Januari 2025 dan dijadualkan siap pada 13 Julai 2026.
Bagaimanapun, pelaksanaannya mengalami kelewatan berikutan masalah prestasi kontraktor swasta yang dilantik serta isu teknikal pada peringkat awal projek.
Antara masalah yang dikenal pasti ialah kelewatan agensi utiliti, termasuk Sabah Electricity (SE), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan syarikat telekomunikasi (TELCO), menyerahkan dokumen berkaitan pengalihan utiliti kepada pihak JKR.
Beliau berkata, masalah berkaitan pengalihan utiliti turut dikenal pasti dalam cadangan Projek Pembinaan Jambatan Sungai Pancuran, Nabawan.
Dalam pada itu, Deckson menegaskan ADUN Nabawan tidak mempunyai sebarang kaitan atau kepentingan dengan syarikat kontraktor terbabit seperti yang cuba digambarkan dalam laporan portal SABAH VOX menerusi platform TikTok.
Sebaliknya, katanya, ADUN Nabawan bersama Pegawai Daerah Nabawan dan Jurutera Daerah JKR Nabawan telah turun padang melakukan tinjauan mengejut di tapak pembinaan bagi mendesak kontraktor mempercepatkan pelaksanaan baki kerja fizikal demi kepentingan penduduk setempat.
Malah, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam turut mengarahkan pihak JKR supaya menyelesaikan masalah pembinaan jambatan berkenaan serta tidak berkompromi dengan kegagalan kontraktor.
Beliau turut menuntut penjelasan rasmi dan tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab mengikut ketetapan kontrak.
“Kita mahu kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab dihukum mengikut lunas kontrak yang ditetapkan supaya baki kerja dapat diselesaikan segera,” katanya.
Menurut Deckson, tindakan tegas itu penting bagi membuktikan bahawa pihak pentadbiran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab, khususnya kontraktor yang terlibat.
Sehubungan itu, ADUN Nabawan menyifatkan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kelewatan projek berkenaan sebagai cubaan menjatuhkan imej, membina persepsi negatif dan mengelirukan rakyat, khususnya penduduk di daerah Nabawan.
Beliau turut mengingatkan agar fakta sebenar tidak diketepikan semata-mata kerana kepentingan politik atau usaha meraih publisiti murahan.
Katanya, rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan telus berhubung pelaksanaan setiap projek pembangunan, terutama projek infrastruktur yang amat diperlukan bagi kemudahan dan kesejahteraan penduduk setempat.



