Pasukan ekspedisi MKA meraikan kejayaan mereka selepas menamatkan pendakian ke Everest Base Camp.
RANAU: Sebelas peserta ekspedisi Mount Kinabalu Adventure & Travel Sdn Bhd (MKA) berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) pada 9 November lalu, sekali gus mengharumkan nama Sabah di pentas pendakian antarabangsa.
Lebih membanggakan, dua malim gunung Kinabalu, Augustine Bulangai, 42, dan Cornelius bin Sanan, 45, turut mencipta pencapaian tersendiri apabila berjaya sampai ke Kala Patthar pada 10 November, lokasi berketinggian 5,545 meter dari aras laut yang terkenal dengan panorama Gunung Everest dan banjaran Himalaya.
Pasukan MKA tiba di Everest Base Camp pada 1.30 tengah hari waktu Nepal selepas mengharungi perjalanan mencabar yang menguji ketahanan fizikal dan mental, termasuk berdepan suhu rendah, altitud tinggi serta keadaan muka bumi pergunungan.
Daripada keseluruhan peserta ekspedisi, hanya Augustine dan Cornelius berjaya meneruskan pendakian sehingga ke Kala Patthar meskipun terpaksa berhadapan suhu ekstrem mencecah minus 30 darjah Celsius.
Sementara itu, pada 8 November, tiga peserta MKA turut mencatat kejayaan apabila berjaya menamatkan pendakian ke Thorong La Pass di laluan Annapurna Circuit yang terletak pada ketinggian 5,416 meter.
Mereka ialah Roslyn, 37, Preshilla, 36, serta seorang lagi malim gunung Kinabalu, Juani Bigul, 40. Ketiga-tiganya berjaya menyempurnakan pendakian dan turun dengan selamat walaupun berdepan suhu serendah minus 23 darjah Celsius.
Kejayaan peserta MKA di tiga lokasi berkenaan memperlihatkan keupayaan komuniti pendaki dan malim gunung Sabah mengharungi cabaran persekitaran Himalaya yang berbeza dari segi altitud, cuaca serta tahap kesukaran berbanding pendakian di Gunung Kinabalu.
Sebelas peserta yang berjaya sampai ke Everest Base Camp terdiri daripada Noorazalina Hamzah, 40; Mohamad Nizam Kamisan, 34; Jaliah Benjee, 41; Ealdy Cenno Donald, 31; Fenny Lisa, 28; dan Ricks Padayao Enrikue, 32.
Turut menyertai kumpulan berkenaan ialah lima malim gunung Kinabalu, iaitu Augustine Bulangai, Cornelius bin Sanan, Syakirin bin Sumail, 26; Ewon Binidek, 30; dan Fredie Binidek, 34.
MKA menerusi slogan ekspedisi ‘Dari Sabah Borneo ke Himalaya Ku Daki’ menyifatkan kejayaan itu sebagai pengalaman berharga dan satu kebanggaan bukan sahaja kepada peserta, malah keluarga, rakan serta seluruh komuniti malim gunung Sabah.



