Jonathan menyampaikan anugerah pencapaian kepada salah seorang penerima pada Karnival Pra-Krismas Ranau 2026.
RANAU: Karnival Pra-Krismas Ranau 2026 bukan sahaja menjadi platform meraikan kedatangan Hari Krismas, malah memperkukuh hubungan persaudaraan dan persekutuan dalam kalangan gereja Kristian di daerah ini.
Program yang menghimpunkan gereja-gereja di bawah Majlis Gereja-Gereja Ranau (MGGR) itu berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Ranau, baru-baru ini.
Karnival anjuran Pelayanan Wanita Sidang Injil Borneo (SIB) Pekan Ranau itu dirasmikan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Pengerusi penganjur, Riny Nairing berkata, program berkenaan bertujuan menyediakan platform kepada penganut Kristian daripada pelbagai gereja untuk bersama-sama meraikan Krismas menerusi ibadah, persembahan lagu rohani dan aktiviti persekutuan.
Beliau berkata, perhimpunan itu turut memberi peluang kepada komuniti Kristian mengeratkan hubungan serta menghayati mesej kasih sayang, kesyukuran dan kegembiraan sempena memperingati kelahiran Yesus Kristus.
“Melalui karnival ini, kami berharap komuniti dapat berkumpul dalam suasana penuh kasih sayang, kesyukuran dan kegembiraan, sambil merenungi makna sebenar Krismas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis SIB Pekan Ranau, Pta. Juhirin Kantis, yang mewakili gereja tuan rumah, menyambut baik penganjuran program berkenaan yang menghimpunkan gereja-gereja di bawah MGGR.
Beliau berkata, perhimpunan seumpama itu penting dalam memperkukuh hubungan antara gereja selain menggalakkan kerjasama berterusan dalam pelayanan dan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Program itu turut menampilkan Presiden SIB Sabah, Rev. Dr. Sintoh Yusop, yang menyampaikan ucapan kepada hadirin, manakala perutusan rohani utama disampaikan Pastor SIB Pekan Ranau, Rev. Jasme Dairis.
Antara pengisian utama karnival ialah persembahan koir gabungan yang menyampaikan lagu-lagu Krismas dan pujian dalam bahasa Melayu, Inggeris serta Dusun.
Menariknya, persembahan itu turut diserikan dengan segmen nyanyian bersama yang membolehkan hadirin mengambil bahagian secara langsung dalam sambutan berkenaan.
Selain pengisian kerohanian dan kemasyarakatan, karnival itu turut menjadi inisiatif pengumpulan dana Pelayanan Wanita SIB Pekan Ranau bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti mereka pada masa akan datang.
Riny turut merakamkan penghargaan kepada semua individu dan organisasi yang memberikan sokongan, sumbangan serta kerjasama sehingga menjayakan penganjuran karnival berkenaan.
Beliau berharap program itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi menyemarakkan semangat persekutuan Kristian serta memperkukuh hubungan antara gereja-gereja di Ranau.



