ADVERTISEMENTspot_img

PDRM SABAH RAI JASA JAUTEH, LEGASI KEPIMPINAN TERUS DIKENANG

Datuk Jauteh Dikun bersama isteri ketika menerima cenderahati berupa bingkai gambar sebagai tanda penghargaan dan kenangan sempena majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah mengadakan Malam Mes ‘Dining Out’ Pesuruhjaya Polis Sabah bertemakan “Jasamu Terpahat Sepanjang Zaman” sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Datuk Jauteh Dikun sepanjang menerajui kepimpinan pasukan polis di negeri ini.

Majlis yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini malam tadi turut menjadi wadah mengenang sumbangan beliau dalam memperkukuh pembangunan organisasi, penstrukturan perjawatan serta meningkatkan kemudahan prasarana PDRM, khususnya di Kontinjen Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Mohd Hafiz Ya’acob dalam ucapannya berkata sumbangan Jauteh, khususnya dalam aspek pembangunan dan pemantapan organisasi, telah memberikan impak positif terhadap keupayaan serta kemajuan PDRM Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah Datin Nurhayatie Farhana Abdullah atas komitmen dan sumbangan beliau dalam memperkasakan peranan serta imej PERKEP di peringkat kontinjen.

Sementara itu, Jauteh menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga PDRM Sabah atas penganjuran majlis berkenaan yang disifatkan sebagai kenangan bermakna buat beliau bersama isteri dan keluarga.

Beliau turut menghargai komitmen pengerusi jawatankuasa serta seluruh warga kerja yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran penganjuran majlis berkenaan.

Dalam amanatnya, beliau menyeru seluruh warga PDRM Kontinjen Sabah supaya terus mengekalkan semangat, komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan amanah kepolisan tanpa mengira jabatan atau cawangan.

Beliau berkata setiap sumbangan dan pengorbanan anggota pasukan merupakan sebahagian daripada sejarah serta legasi perkhidmatan yang wajar dihargai dan dikenang sepanjang zaman.

Majlis itu turut dihadiri ketua-ketua jabatan, ketua formasi dan ketua polis daerah bersama pasangan masing-masing, selain pegawai kanan serta pegawai rendah polis Kontinjen Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN