Zul Hadi (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Tun Musa (tengah).
KOTA KINABALU: Penjawat awam persekutuan di Sabah diseru supaya memberikan tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab serta mendukung Rukun Negara sebagai tonggak perkhidmatan.
Setiausaha Persekutuan (SUP) Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad berkata, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga perlu terus dipertingkatkan kerana Sabah dan Kerajaan Persekutuan ini bukanlah entiti yang berbeza.
“Sebaliknya, Kerajaan Sabah dan Persekutuan merupakan satu entiti yang harus bergerak seiring dan mempunyai sinergi seimbang supaya sama-sama dapat kita membangunkan Sabah sebagai satu negeri yang menyokong ekonomi negara Malaysia.
“Fokus utama saya adalah untuk meneruskan legasi dan juga amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar supaya meneruskan jalinan dan hubungan yang harmoni, yang kekal dan kuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah daripada pertemuan pada pagi ini, saya juga mendapat pesanan dan amanat daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan kami yakin dengan sokongan daripada Tun Musa dan juga Kerajaan Negeri Sabah, cita-cita tersebut bukanlah mustahil,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Kunjungan berkenaan bertujuan memaklumkan Tun Musa berkenaan pelantikan Zul Hadi sebagai SUP Sabah yang baharu berkuat kuasa 16 Oktober lepas menggantikan Datuk Mohd Razali Wahab yang bersara wajib.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Mohd Hamdani Sahari dan Ketua Penolong Setiausaha, Noraziah Aslan./Penerangan–



