Madius
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan hak pemberian khas 40 peratus Sabah mulai 2027 dengan mengemukakan pengiraan yang telus, jadual pembayaran jelas serta tanpa mengetepikan tuntutan bagi tempoh terdahulu.
Beliau berkata, peningkatan bayaran interim daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion merupakan perkembangan yang dialu-alukan, namun rakyat Sabah perlu mengetahui sama ada jumlah itu dikira berdasarkan formula hak 40 peratus atau sekadar bayaran sementara menunggu pengiraan sebenar dipersetujui.
Madius membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Maksud Tanggungan 12: Perbendaharaan, Butiran 010600: Pemberian Khas Tahunan Sabah, pada peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 menyentuh kegagalan menunaikan kewajipan perlembagaan bagi tempoh 1974 hingga 2021, justeru usaha menyediakan data dan pengiraan sebenar perlu diteruskan walaupun terdapat proses rayuan dan penangguhan pelaksanaan.
“Hak ini berasaskan Perkara 112C, dibaca bersama Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Jadi, semakan di bawah Perkara 112D mesti berpandukan kerangka tersebut,” katanya.
Beliau meminta Menteri Kewangan menjelaskan perkara yang masih belum dipersetujui dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, sama ada melibatkan takrif hasil bersih, data kutipan, asas tahun 1963 atau kaedah pengiraan.
Madius turut mempersoalkan asas undang-undang sekiranya bayaran interim itu dianggap sebagai pemberian gantian, termasuk keperluan persetujuan kedua-dua kerajaan dan perintah yang berkuat kuasa.
Beliau juga menuntut jaminan bertulis bahawa penerimaan bayaran interim tidak akan menggugurkan hak Sabah, termasuk tuntutan terdahulu, selain meminta penjelasan bagaimana bayaran berkenaan akan diambil kira dalam penyelesaian akhir.
Dalam pada itu, beliau meminta Kerajaan menjelaskan mekanisme pembayaran baki RM900 juta daripada jumlah RM1.5 bilion yang diumumkan akan disalurkan sebelum akhir 2026, memandangkan RM600 juta telah diterima melalui Warta Pemberian Khas Sabah 2025.
Madius menegaskan bahawa rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu penyelesaian tuntutan berkenaan dan Kerajaan Persekutuan perlu memberikan kepastian mengenai pelaksanaan hak tersebut.
“Tuaran menggesa supaya hak 40 peratus dilaksanakan mulai 2027, tanpa mengetepikan tuntutan terdahulu. Untuk itu, bentangkan pengiraan yang boleh disemak, tetapkan jadual pembayaran dan sediakan peruntukan yang mencukupi,” katanya.



