Ahli jawatankuasa Tambunan Momogun Tourism Association bergambar selepas mesyuarat persatuan itu di Tambunan.
TAMBUNAN: Industri pelancongan daerah Tambunan dijangka memasuki fasa pembangunan lebih tersusun menerusi penubuhan Tambunan Momogun Tourism Association (MOTA) yang berperanan menyatukan penggiat industri berkenaan bagi memperkasa potensi ekonomi tempatan secara inklusif dan mampan.
Persatuan itu menerima kelulusan pendaftaran rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 20 Okt lepas, sekali gus membuka ruang kepada usaha penyelarasan dan pembangunan sektor pelancongan daerah berkenaan secara lebih strategik.
MOTA diketuai Presidennya Daniel Dilliam bersama 10 anggota jawatankuasa pengasas. Penubuhannya bertujuan menyediakan platform bagi menghimpunkan pengusaha pelancongan, penggiat seni dan budaya, pengusaha inap desa serta usahawan tempatan dalam satu gerakan pembangunan industri pelancongan.
Daniel berkata antara fokus utama persatuan itu ialah mempromosikan kepelbagaian tarikan pelancongan Tambunan, termasuk keindahan alam semula jadi, warisan kebudayaan Momogun, aktiviti berasaskan komuniti kampung, sukan dan rekreasi serta produk kraftangan dan makanan tradisional.
Beliau berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan daya tarikan Tambunan sebagai destinasi pelancongan, malah memberi peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman budaya dan keunikan kehidupan masyarakat tempatan.
Menurutnya, MOTA turut memberi penekanan kepada usaha memelihara warisan tradisi, memperkasakan usahawan kecil serta menggalakkan penyertaan generasi muda dalam industri pelancongan.
Bagi merealisasikan matlamat itu, persatuan berkenaan komited menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan berdaya saing dan memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, MOTA merancang membuka permohonan keahlian secara berperingkat bagi memperluas penyertaan komuniti tempatan, selain mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha mempromosikan Tambunan ke peringkat lebih tinggi.
Maklumat lanjut mengenai keahlian dan program persatuan boleh diperoleh menerusi pihak pengurusan MOTA.



