Juara Borneo Safari 2026, Aleshen Lo, Norlee Yap bersama Jamawi dan pasukan sokongan mereka.
KOTA KINABALU: Pasangan dari Kota Kinabalu, Aleshen Lo dan Norlee Yap muncul juara keseluruhan Borneo Safari International Offroad Challenge 2026 edisi ke-34 selepas mengumpul 1,927 mata dalam saingan yang berlangsung selama lapan hari di kawasan Ulu Tongod, Sabah.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang Trofi Kejuaraan Borneo Safari bersama wang tunai dan hadiah keseluruhan bernilai RM135,472, selain mencatat kelebihan 76 mata berbanding pencabar terdekat.
Aleshen berkata kejayaan itu hasil persiapan dan latihan intensif yang dilakukan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran sepanjang pertandingan.
“Saya sangat gembira hari ini. Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan persediaan mencukupi bagi menghadapi acara ini dan segala usaha itu akhirnya membuahkan hasil,” katanya selepas pengumuman keputusan kejuaraan.
Tempat naib juara menjadi milik Alexander Chang dan Anderson Abdullah dari Kota Marudu yang membawa pulang trofi serta wang tunai dan hadiah bernilai lebih RM84,967, manakala tempat ketiga disandang Koo Foi Loong dan Velerick Martin dari Keningau dengan hadiah bernilai lebih RM57,758.
Edisi kali ini yang berlangsung dari 25 Okt hingga 1 Nov menghimpunkan lebih 650 kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang diubah suai serta lebih 1,700 peserta dari Malaysia Timur, Malaysia Barat dan 15 negara lain.
Peserta berdepan laluan mencabar di kawasan bekas jalan pembalakan di Ulu Tongod yang merangkumi trek berlumpur, cerun curam, lurah berbentuk V, kawasan tanah runtuh dan beberapa lintasan sungai.
Saingan dibahagikan kepada kategori Competition dan Tag On, dengan 31 pasukan berentap dalam kategori Competition menerusi 24 Peringkat Khas (SS), manakala peserta Tag On turut mengharungi laluan ekspedisi yang mencabar, lebih-lebih lagi dengan keadaan hujan berterusan.
Penganjuran oleh Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA) itu melabuhkan tirainya menerusi majlis makan malam penutupan di Kota Kinabalu malam ini yang turut menyaksikan pengumuman keputusan kejuaraan dan penyampaian anugerah khas.
Antara penerima anugerah khas ialah Jiverainer Allan Chin yang memenangi Borneo Safari Jungleman Award, manakala Jovinia John Yih menerima Borneo Safari Jungle Woman Award.
Anugerah Foul Up of the Year dimenangi peserta nombor 139 dari pasukan Johor, sementara Vehicle of the Year diberikan kepada kenderaan Isuzu 2.2 Auto Premium berwarna merah jambu dengan nombor pendaftaran WQU 9882.
Nazri Hashim atau Offroad Paparazi Burger pula menerima Fred Leong Award bagi kecemerlangan penceritaan visual menerusi platform media sosial.
Anugerah Borneo Safari Environment diberikan kepada pasukan Sweeper and Environment yang diketuai Hamka Abdul Wahid, manakala Team Spirit Award menjadi milik Tag On H yang diketuai Serman Hassmar.
Presiden SFWDA merangkap Pengarah Acara Borneo Safari, Faez Nordin, mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan cabaran tahun ini selain merakamkan penghargaan kepada penaja, rakan kerjasama, agensi kerajaan, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan acara berkenaan.
Beliau turut menyampaikan penghargaan khusus kepada Isuzu Malaysia Sdn Bhd selaku penaja Diamond, Grantt Lubricants sebagai penaja Platinum dan rakan pelincir rasmi bagi tahun ke-10 berturut-turut serta PETRONAS Dynamic Diesel Euro 5 with Pro-Drive selaku rakan bahan api rasmi.
Majlis penutupan itu turut dihadiri Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar, bersama wakil penaja, rakan kerjasama dan agensi kerajaan.
Borneo Safari terus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi sukan lasak pacuan empat roda bertaraf antarabangsa, selain menjadi platform mempererat hubungan komuniti 4WD dan mempromosikan keunikan landskap semula jadi negeri ini kepada peserta dari dalam dan luar negara.



