Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terbabas ke dalalm sungai-Foto Bomba
RANAU: Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaikinya terbabas ke dalam sungai di Kampung Nalapak, di sini, hari ini.
Mangsa, Nancy Kitingon, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.45 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian, kira-kira 20 kilometer dari balai.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.14 tengah hari dan mendapati kenderaan berkenaan terbabas sendiri ke dalam sungai dengan mangsa masih berada di dalamnya.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum memberikan rawatan awal.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.



