ADVERTISEMENTspot_img

UPPM DAN SABAH ELECTRICITY PERKUKUH KERJASAMA MENANGANI ISU BEKALAN ELEKTRIK : AWANG KADIN

Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang bersama wakil Sabah Electricity dan peserta sesi libat urus UPPM-Sabah Electricity di Beaufort.

BEAUFORT: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah dan Sabah Electricity memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan penyampaian maklumat serta penyelarasan maklum balas dan aduan masyarakat berkaitan bekalan elektrik.

Perkara itu menjadi fokus Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama UPPM bagi kawasan Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang yang berlangsung di The Gem Hotel, Beaufort, semalam.

Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, berkata sesi berkenaan menyediakan ruang untuk kedua-dua pihak berkongsi maklumat, menyelaras tindakan dan meningkatkan kefahaman mengenai isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus berkenaan di The Gem Hotel, Beaufort.

“Bekalan elektrik yang stabil penting bukan sahaja untuk kegunaan isi rumah, malah turut menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan, perniagaan serta pembangunan komuniti,” katanya.

Beliau berkata UPPM berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, termasuk mendapatkan maklum balas masyarakat, mengenal pasti isu di peringkat akar umbi dan menyalurkan aduan kepada pihak berkaitan untuk perhatian serta tindakan lanjut.

Sesi libat urus itu turut menjadi platform perkongsian maklumat mengenai status bekalan elektrik, pembangunan infrastruktur, perkhidmatan pengguna, keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga.

Program berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus yang diadakan di Sandakan pada 23 Mei lalu. Ia turut merangkumi sesi taklimat dan dialog bagi memperkukuh komunikasi dua hala antara Sabah Electricity dengan UPPM.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Haji Jaafar, turut hadir dalam program itu.

Penyertaan melibatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat, wakil UPPM dan pemimpin komuniti daripada sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.
Datuk Awang Kadin berharap sesi tersebut menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara Sabah Electricity dengan UPPM.

“Kerjasama yang kukuh perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat. Saya berharap maklumat yang diperoleh hari ini dapat membantu kakitangan UPPM melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus berkongsi maklumat dan menyelaras tindakan secara konsisten demi menangani isu di peringkat akar umbi serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN