ADVERTISEMENTspot_img

Kartel dadah: KUMAJU Sabah gesa siasatan telus, integriti dipertahankan

Nazarul

KOTA KINABALU: Isu kartel dadah di Sabah perlu dijadikan peringatan serius kepada masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai bahaya kegiatan jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengabaian nilai integriti dalam usaha membina masa depan negeri itu.

Pengerusi NGO KUMAJU Sabah, Nazarul Khaiwala Bin Wahab berkata sebarang dakwaan berkaitan penyalahgunaan kuasa atau pengkhianatan amanah oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat perlu disiasat secara telus dan adil berdasarkan bukti serta undang-undang.

Beliau berkata proses keadilan perlu dihormati dan tiada pihak wajar dihukum berdasarkan dakwaan semata-mata, tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kekayaan.

Menurutnya, apabila kepentingan wang dan diri mengatasi nilai kemanusiaan serta integriti, kesannya bukan sahaja menjejaskan individu terbabit, malah boleh merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi dan keselamatan awam.

“Golongan muda Sabah tidak seharusnya mengukur kejayaan berdasarkan kekayaan yang diperoleh melalui jalan yang salah. Pangkat boleh berubah dan wang boleh habis, tetapi maruah diri, kejujuran serta nama baik keluarga sentiasa membawa makna,” katanya dalam kenyataan.

Nazarul berkata golongan muda perlu memilih jalan yang betul dengan menimba ilmu, membina kemahiran, menghormati ibu bapa dan berusaha menjadi anggota masyarakat yang bermanfaat.

Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak terpengaruh dengan janji memperoleh wang mudah, kegiatan dadah atau kumpulan yang menawarkan kemewahan tanpa mempedulikan kesan buruk terhadap kehidupan dan masa depan.

Menurutnya, Sabah mempunyai ramai anak muda berbakat yang memerlukan peluang, bimbingan serta kepimpinan berintegriti untuk mengembangkan potensi dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha membina generasi bebas dadah dan jenayah bukan tanggungjawab pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama ibu bapa, pendidik, pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh masyarakat.

Nazarul berkata masyarakat juga perlu lebih prihatin, berani menyuarakan kebenaran melalui saluran yang betul serta memainkan peranan dalam menangani masalah yang boleh menjejaskan masa depan generasi muda.

Beliau berharap isu berkenaan menjadi iktibar kepada semua pihak agar lebih serius mempertahankan integriti, menjauhi dadah dan memastikan generasi akan datang tidak mewarisi masalah yang gagal ditangani pada masa kini.

“Selamatkan generasi, jauhi dadah, pertahankan integriti dan bina Sabah dengan maruah,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN