DITAHAN…. Suspek bertanda X yang ditahan polis bersama dadah yang dirampas
PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan merampas 52.09 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM6,000 dalam Op Gempur Khas JSJN Bil. 02/2026 di sebuah hotel di Putatan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira 10.30 malam, 6 Okt.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap suspek menemukan sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 52.09 gram.
“Polis turut menyita beberapa barangan serta wang tunai bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan.
Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Polis menasihati masyarakat supaya tidak terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan kepada pihak berkuasa.



