Anuar
RANAU: Penyelaras Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Parlimen Ranau, Anuar Tan Sri Ghani, menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan segera terhadap aktiviti pembinaan jalan dan pembersihan tanah yang disyaki berlaku di kawasan Hutan Simpan Bukit Hampuan, Mile 4, Jalan Mamut, di sini.
Beliau berkata pemeriksaan itu penting bagi menentukan status kelulusan aktiviti berkenaan serta memastikan sebarang pembangunan tidak menjejaskan kawasan tadahan air dan keselamatan penduduk di kawasan hilir.
Anuar berkata kebimbangan itu susulan laporan Daily Express pada 13 September 2026 bertajuk “Ranau road works raise fears over water sources”, yang melaporkan mengenai kegiatan pembinaan jalan dan pembersihan tanah yang disyaki sedang berlaku di kawasan Bukit Hampuan.
Menurutnya, lokasi berkenaan terletak di bawah kawasan bekas Lombong Mamut dan di atas Kompleks Sukan Ranau, sekali gus memerlukan perhatian pihak berkuasa kerana kedudukannya berhampiran kawasan tadahan air.
“Saya memandang serius laporan tersebut kerana kawasan berkenaan mempunyai kepentingan besar kepada penduduk setempat, khususnya dari aspek sumber air dan pertanian.
“Pihak berkuasa perlu turun ke tapak dan menyiasat kerja pembinaan jalan, pembersihan tanah serta struktur jambatan atau lintasan yang dibina merentasi anak-anak sungai bagi menentukan status kesahihan dan tahap keselamatan alam sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keratan akhbar Daily Exress 15 September
Anuar berkata kawasan berkenaan dipercayai merupakan kawasan tadahan air yang membekalkan air melalui sistem graviti kepada penduduk di Kampung Lukapon, Kampung Lasing dan Kampung Kilimu.
Katanya, kawasan tadahan Sungai Mansahaban turut penting sebagai sumber pengairan sawah padi di Mukim Tanah Rata, selain menyokong kegiatan penternakan ikan air tawar dan projek ekopelancongan tempatan.
Beliau berkata sebarang gangguan terhadap kawasan tadahan air, terutama akibat kerja tanah di kawasan cerun, berpotensi menyebabkan hakisan, tanah runtuh dan pemendapan kelodak ke dalam sungai.
“Risiko ini tidak boleh dipandang ringan kerana masyarakat di kawasan hilir, khususnya Kampung Kilimu, berpotensi berdepan ancaman banjir lumpur ketika hujan lebat,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar turut meminta penjelasan berhubung pengeluaran seluas 159 hektar daripada keseluruhan 1,300 hektar Hutan Simpan Kelas I Bukit Hampuan yang dikaitkan dengan cadangan projek tanaman herba di Mile 4, Jalan Mamut.
Beliau berkata masyarakat setempat perlu diberikan penjelasan yang sewajarnya mengenai status kawasan berkenaan, termasuk tujuan, proses kelulusan dan langkah mitigasi bagi memastikan sumber air serta alam sekitar tidak terjejas.
Anuar turut menggesa Setiausaha Tetap Pejabat Sumber Asli, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar serta Majlis Sumber Air mengambil tindakan segera dengan menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu menjelaskan mengapa bantahan penduduk sebelum ini berhubung kawasan tadahan air berkenaan belum diberikan tindakan atau maklum balas yang sewajarnya.
“Surat rasmi yang telah dikemukakan penduduk kampung wajar diberikan jawapan yang jelas, termasuk perincian mengenai langkah mitigasi dan pencegahan yang sedang atau akan dilaksanakan,” katanya.
Anuar berkata kepentingan masyarakat, perlindungan sumber air semula jadi dan keselamatan awam perlu diutamakan dalam sebarang keputusan berkaitan pembangunan tanah.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku bencana sebelum mengambil tindakan. Langkah perlindungan alam sekitar dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan Hutan Simpan Bukit Hampuan terus dipelihara demi kepentingan rakyat Ranau,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru masyarakat setempat supaya terus berwaspada dan bersama-sama melindungi kawasan tadahan air bagi memastikan kelangsungan sumber air, pertanian dan kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.



