ADVERTISEMENTspot_img

110 KIR Mangsa Kebakaran Numbak Terima Bantuan

KOTA KINABALU : Seramai 110 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di kawasan Numbak, Sepanggar pada 30 Ogos lalu menerima bantuan dari kerajaan negeri. 


Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkenan menerima taklimat dan menyantuni mangsa dalam Program Lawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah Bersama Mangsa Bencana Kebakaran Kg Lok Buta, Kg Lok Poring dan Kg Sabang Lama, Numbak Sepanggar di Dewan Serbaguna Damai di sini, pada Rabu.


Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, lawatan berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Istana Negeri dan Kerajaan Negeri menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada mangsa terjejas.


“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban KIR dan ahli keluarga mereka yang masih mencari tempat untuk tinggal.


“Sebahagian daripada mereka kini tinggal bersama saudara masing-masing,” katanya.


Menurut Sabin, DBKK bersama Kerajaan Negeri kini sedang membuat persediaan termasuk menjalankan pemeriksaan dan pengukuran di kawasan penempatan berkenaan bagi memastikan proses penyusunan semula dapat dilakukan secara teratur.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu berkata, semakan turut dibuat terhadap senarai penduduk terjejas bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dibenarkan membina semula kediaman di kawasan tersebut.


Pada program itu, DBKK turut menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM700 daripada Majlis Ugama Islam Sabah kepada setiap KIR, manakala pihak Istana turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang tunai selain bantuan pakaian dan keperluan lain.


Sementara itu, seorang mangsa, Ajis Abdul, 47, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan selepas keluarganya kehilangan kediaman dalam kejadian tersebut.


“Pada masa kejadian habis semua terbakar, yang tinggal hanyalah pakaian di badan dan kami amat berterima kasih dan bersyukur di atas bantuan yang diberikan ini.


“Harapan kami mudah-mudahan pihak kerajaan dapat membantu dan membenarkan kami yang terjejas untuk membina semula rumah di kawasan yang sama,” ujar Ajis yang bekerja sebagai nelayan dan mempunyai enam orang anak yang masih bersekolah.


Beliau turut berharap sekiranya penempatan itu dibina semula, aspek keselamatan dapat diberi perhatian termasuk menyediakan jarak yang sesuai antara kediaman bagi mengelakkan risiko kejadian sama berulang.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN