parasukma boccia anilAnil (betopi hitam) bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah Mohd Asneh Mohd Noor memberi sokongan kepada pemain Sabah yang bertanding dalam sukan Boccia yang berlangsung di Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Skuad olahraga Sabah memulakan tuaian pingat dengan lima emas, empat perak dan empat gangsa pada PARA Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini (Ahad).
Ia adalah sumbangan besar terhadap kutipan keseluruhan lima emas, enam perak dan lima gangsa yang meletakkan Sabah sebagai pendahulu carta pingat setakat jam 3.00 petang (Ahad).
Sukan olahraga yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, menyaksikan kilauan emas dari Mohamad Faqrul Nizam dalam acara lontar peluru kategori F33 lelaki, Mohamad Syahzwan William (lontar peluru F20 lelaki), Eljoe Gotuoh (lompat jauh T20 lelaki), Muhamad Shaban Shahid (100m T45 lelaki) dan Charmian Skajat (lontar peluru F20 wanita).
Pingat perak pula disumbangkan Bartholomew Marius (lontar peluru F33 lelaki), Mohd Laili Ezlan Kassim (lontar peluru F44/64 lelaki), Elissieball Jonal (lompat jauh T20 wanita) dan Aidie Shazaidie (100m T38 lelaki).
Pingat gangsa pula dimenangi Mohamad Hanif Burhanudin (lontar peluru F44/64 lelaki), Mohd Nizamuddin Matahir (100m T38 lelaki), Danny Hadid (1500m T20 lelaki) dan Mercany Mizan (1500m T20 wanita).
Turut menyumbang pingat perak ialah Jaynie dalam acara memanah 70m Round Recurve PI 2 wanita) dan Myzos Majanting (angkat berat bawah 49kg lelaki) manakala satu lagi gangsa juga dari memanah menerusi Charlie (70m Round Recurve individu PI 2 lelaki).
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu yang turun padang menyaksikan dan memberi sokongan di beberapa venue pertandingan lega dengan permulaan tuaian pingat itu.
Beliau berkata, ia mencerminkan perkembangan positif kontinjen Sabah terutama dari aspek pengurusan atlet dan persiapan menghadapi pertandingan.
Beliau berkata, apa yang dicapai terutama skuad olahraga hari ini (Ahad) memberikan langkah kanan buat Sabah memburu sasaran 66 pingat emas pada temasya itu.
Anil berharap momentum baik terutama yang dimulakan olahraga dapat diteruskan pada baki pertandingan yang dijadualkan berlangsung sehingga 10 September.
“Insya-Allah, target emas 66 pingat itu mudah-mudahan akan kita capailah pada Para SUKMA di Selangor tahun ini,” katanya.



