ADVERTISEMENTspot_img

KEMAS Labuan akan dinaik taraf berstatus KEMAS Negeri

Mohd Hanafiah menyerahkan bantuan kit peralatan kepada usahawan IKSP bimbingan KEMAS, sambil diperhatikan Mohd Rafi (dua dari kanan) dan Dr Norliza (kiri sekali)

LABUAN; Pejabat Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Persekutuan Labuan akan diangkat untuk dinaik taraf dari sebuah pejabat berstatus daerah kepada KEMAS Negeri.

Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata sepatutnya usaha untuk menaik taraf KEMAS Labuan daripad status daerah kepada KEMAS negeri sudah lama diselesaikan, ini kerana Labuan telahpun diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan yang mempunyai struktur dan pentadbiran sendiri.

Katanya,walaupun Labuan tidak mempunyai Menteri Besar sebagai ketua di sesebuah negeri,namun seperti juga Kuala Lumpur yang hanya mempunyai Datuk Bandar sebagai Ketua, dan Labuan juga mempunyai struktur pentadbirannya sendiri yang diketuai oleh Perbadanan Labuan.

“Maka dengan sebab itulah saya kira operasi KEMAS Labuan memenuhi keperluan untuk dinaik taraf sebagai KEMAS Negeri dan Insyaallah perkara ini akan saya angkat pada Bengkel Penstrukturan dan Perjawatan yang akan diadakan bulan depan supaya KEMAS Labuan tidak lagi dianggap satu daerah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Komuniti @ KEMAS 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Pusat Kegiatan (PKM) KEMAS Labuan di sini, pada Sabtu.

Mohd Hanafiah berkata, jika status KEMAS Labuan bertaraf negeri, sudah pasti perjawatan KEMAS Labuan juga akan dinaik taraf dengan pelantikan jawatan Pengarah atau sekurang kurangnya Penolong Pengarah untuk menerajui jabatan itu.

Terdahulu sebelum itu, Pengerusi Komuniti KEMAS Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hasan ketika berucap pada majlis itu menyarankan supaya status KEMAS Labuan di naik taraf setanding dengan negeri lain sekaligus menepis tanggapan masyarakat bahawa KEMAS Labuan dianak tirikan.

Mohd Rafi berkata, KEMAS Labuan bukan sahaja telah berjaya mendekati masyarakat Labuan tetapi berada dilandasan sebenar apabila berjaya meningkatkan pelbagai kemahiran dalam menjana pendapatan komuniti sekaligus memperkasa kualiti hidup rakyat di pulau ini.

Menyentuh mengenai Program Jalinan Komuniti @ Kemas, Hanafiah berkata, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan oleh KEMAS Labuan termasuk membimbing dan mengembangkan perniagaan usahawan serta meningkatkan keupayaan operasi dan produktiviti golongan tersebut.

Jelasnya KEMAS Labuan juga turut memperkenalkan ekosistem pelbagai projek yang bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti.

“Salah satu Ekosistem projek yang berjaya diusahakan oleh usahawan ialah projek Roti Kampung yang merupakan inisiatif terbaharu diperkenalkan oleh KEMAS” katanya.

Mohd Hanafiah berkata KEMAS Labuan juga terus memperkukuh institusi keluarga menerusi pelbagai program pembangunan masyarakat kerana keluarga merupakan asas penting dalam membentuk nilai, sahsiah, sikap bertanggungjawab dan jati diri seseorang.

Turut dilaksanakan pada majlis itu, ialah Program Raudhatul Sakinah yang memberi pendedahan, kefahaman dan kemahiran berkaitan pengurusan jenazah.

Hadir sama Pengarah KEMAS Wilayah Persekutuan, Dr Norliza Mohammad Basiron.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN