ADVERTISEMENTspot_img

Ubah Pemikiran, Keluar Kepompong Lama Demi Kemajuan – Fairuz

SUASANA…Suasana ketika acara gimik sepak manggis.

KOTA BELUD : Masyarakat Kota Belud diseru supaya mengubah pemikiran dan berani keluar daripada kepompong lama bagi memastikan daerah itu terus berkembang serta mencapai kemajuan. 

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan, berkata pengertian kemerdekaan pada masa kini bukan sekadar pembebasan negara daripada penjajahan, tetapi turut merangkumi usaha membebaskan masyarakat daripada kekangan pemikiran, ekonomi dan pembangunan.

“Kemerdekaan bukan hanya melalui perbuatan tetapi juga melalui pemikiran, keluarlah daripada kepompong yang lama. 

“Kita mahu merdeka daripada ekonomi, pembangunan dan segala-galanya.

“Masyarakat perlu mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia menerima perubahan bagi memastikan Kota Belud tidak lagi berada pada tahap pembangunan seperti dahulu.

“Semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui usaha bersama untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memacu pembangunan daerah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Kota Belud di Padang Kampung Emas, di sini, pada Rabu.  

Dalam pada itu, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pintasan menyeru masyarakat supaya menghayati mesej yang terkandung dalam lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku yang sarat dengan nilai perpaduan, kemajuan serta semangat perjuangan pemimpin terdahulu.

“Mesej dan amanat berkenaan perlu dijadikan panduan dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan terus berusaha mencapai kemajuan,” tambahnya. 

Fairuz turut menekankan kepentingan menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan serta mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam membentuk masyarakat yang lebih baik.

Terdahulu, majlis diserikan dengan gimik perasmian menerusi permainan tradisional sepak manggis, selain pelbagai acara sukan rakyat lain yang memeriahkan suasana dan mendapat sambutan masyarakat setempat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah, Saiful Azu@Joe Golkan serta Timbalan Pengarah Pengurusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sabah, Siti Noraini Rosli./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN