Marutin menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Victor.
TAMBUNAN: Persatuan Wartawan Keningau (KJA) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, dalam usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama antara warga media dan pemimpin setempat.
Rombongan KJA diketuai Presidennya, Marutin Ansiung, bersama Timbalan Presiden, Dr Francis Andin.
Kunjungan berkenaan turut menjadi platform suai kenal antara barisan Ahli Jawatankuasa KJA dengan Dato’ Victor serta staf beliau.
Dalam kunjungan itu, KJA turut memaklumkan mengenai penganjuran Majlis Malam Media Pedalaman KJA yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober depan.
Sehubungan itu, rombongan KJA menyampaikan surat undangan kepada Dato’ Victor untuk hadir sebagai tetamu kehormat, selain dijadualkan merasmikan majlis berkenaan.
Turut menyertai kunjungan tersebut ialah Naib Presiden KJA, Hektor Zaimit, Setiausaha, Sharon Caroline Ernest serta ahli, Jaurin Madasin, Lasius Gombot dan Dr Joinis Longkiad.
Hasil kunjungan itu, Dato’ Victor bersetuju memberikan tajaan berupa sebuah kenderaan sebagai hadiah utama cabutan tiket bertuah sempena Majlis Malam Media Pedalaman KJA.
Marutin berkata, pihaknya amat menghargai sokongan dan keprihatinan Dato’ Victor terhadap warga media, khususnya dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan.
Beliau yang mewakili warga media Pedalaman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Victor atas kesudian menaja hadiah utama cabutan tiket bertuah tersebut.
Menurutnya, sokongan daripada pelbagai pihak amat bermakna dalam memastikan majlis yang menghimpunkan pengamal media di kawasan Pedalaman Sabah itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.



