KUNJUNGAN…Jasni Dayah (duduk tengah) ketika menerima kunjungan hormat Hotel Perkasa Holding diketuai Flovia Ng (duduk kedua dari kiri)
KOTA KINABALU: Hotel Perkasa Holding dan Innoprise Corporation Sdn Bhd (Innoprise) meneroka potensi kerjasama strategik bagi memperkukuh rangkaian perkhidmatan hospitaliti, selain membuka ruang baharu kepada pembangunan sektor pelancongan dan perhotelan di Sabah.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat yang diketuai Pengerusi Hotel Perkasa, Datuk Flovia Ng, yang juga Pengerusi Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd, kepada Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya, di Bangunan Innoprise, di sini, hari ini.
Flovia berkata pertemuan itu, antara lain, bertujuan membincangkan bentuk kerjasama yang boleh diwujudkan antara rangkaian perkhidmatan Hotel Perkasa Holding dengan Innoprise, termasuk perancangan dan peluang pengembangan perkhidmatan pada masa hadapan.
“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan rangkaian perhotelan di bawah seliaan kerajaan negeri.
“Pada masa sama, kita melihat terdapat ruang untuk memperluas jaringan kerjasama yang mampu memberi nilai tambah kepada industri hospitaliti dan ekonomi pelancongan Sabah,” katanya.
Beliau berkata sinergi antara pemain dalam sektor hospitaliti dan entiti berkaitan kerajaan penting bagi memastikan industri perhotelan terus berdaya saing, khususnya dalam menghadapi perkembangan sektor pelancongan yang semakin dinamik.
Menurutnya, kerjasama strategik juga berpotensi mewujudkan perkongsian kepakaran, memperluas rangkaian perkhidmatan, serta meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Turut menyertai kunjungan itu ialah Pengarah Hotel Perkasa, Tuan Haji Abdul Gafar Madin; Pengurus Besar, Madam Valeria Vyner Pillin; Pengurus Kewangan Kumpulan, Madam Eliza Chian Moi Chee; Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Ms Efarina Ag Raini; Eksekutif Jualan, Mr Dennis Arnold; serta Pentadbir Acara, C Brasessca Madilious.
Pertemuan itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak dalam usaha memperkukuh ekosistem hospitaliti, serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.



