Selamat berjuang…Skuad pencak silat SUKMA 2026 Sabah sasar lima pingat emas.
Oleh: Vitalis G.Bingkasan
KOTA KINABALU: Skuad pencak silat Sabah sasar jadi antara lubuk emas Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS Pesaka Sabah), Datuk Alijus Sipil berkata, untuk merealisasikan itu, mereka mensasarkan lima pingat emas iaitu tiga dari disiplin tanding dan dua dari seni.
Sabah akan memburu sasaran itu dengan kekuatan skuad pencak silat yang dianggotai 29 atlet di samping enam pegawai.
Beliau berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan persiapan rapi dan prestasi positif yang ditunjukkan atlet dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Persiapan yang kita telah buat agak rapi dan beberapa siri perlawanan persahabatan telah dilalui di Perlis dan Indonesia.
“Setakat perlawanan-perlawanan persahabatan itu, keputusan yang diperoleh agak baik dan insya-Allah kita memang ada sasaran lima pingat emas,” katanya ketika ditemui semasa menghantar skuad pencak silat SUKMA Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi tadi.
Pertandingan pencak silat dijadualkan berlangsung pada 14-19 Ogos di mana Sabah akan mengambil bahagian 23 acara.
Jika dapat kotakan sasaran, ia adalah pencapaian lebih baik berbanding empat pingat emas yang dimenangi skuad pencak silat Sabah ketika SUKMA Sarawak 2024.
Alijus berkata, mereka bertekad memperbaiki pencapaian di Sarawak itu sekaligus menjadi salah satu penyumbang utama membantu kontinjen Sabah memburu sasaran keseluruhan 40 pingat emas pada temasya sukan dwi-tahunan terbesar negara berkenaan.



