RANAU: Pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat diseru memainkan peranan penting dalam usaha menyelesaikan isu dokumentasi anak-anak dan masyarakat yang belum mempunyai dokumen pengenalan diri.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata dalam usaha menyelesaikan isu dokumentasi, pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Kapitan memainkan peranan yang amat penting.
“Mereka merupakan individu yang paling hampir dengan masyarakat dan mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang serta sejarah keluarga penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau di SK Tibabar, dekat sini, hari ini.
Menurut Joachim, kerjasama pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat amat diperlukan bagi membantu menyalurkan maklumat yang tepat, sahih dan lengkap kepada pihak berkuasa, khususnya membabitkan kes dokumentasi yang memerlukan pengesahan mengenai latar belakang individu serta keluarga.
Sehubungan itu, beliau berharap Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah Ranau dapat memberi penekanan kepada semua Ketua-Ketua Adat supaya mengambil peranan lebih proaktif dalam mengenal pasti dan membantu menyelesaikan isu dokumentasi dalam komuniti masing-masing.
“Jika kamu benar-benar mengenali penduduk berkenaan dan keluarganya di kampung itu, bantulah mereka dalam urusan mendapatkan dokumen yang sah.
“Namun, sekiranya individu berkenaan tidak dikenali dan kamu tidak mengetahui latar belakangnya, nyatakanlah dengan jujur bahawa kamu tidak mengenali mereka. Jangan sesekali memberikan pengesahan terhadap perkara yang kita sendiri tidak pasti,” tegasnya.
Joachim berkata, ketegasan itu penting kerana pengesahan daripada pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat mempunyai peranan dalam membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat yang tepat sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan mengikut prosedur ditetapkan.
Pada masa sama, katanya, Ketua-Ketua Adat juga perlu membantu mengenal pasti kes-kes dokumentasi yang masih belum diselesaikan di kampung masing-masing supaya perkara itu tidak terus berlarutan.
“Jangan kita biarkan masalah dokumentasi ini berlarutan sehingga akhirnya diwarisi oleh anak-anak dan generasi seterusnya.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara adil, telus dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Joachim berkata, antara faktor menyebabkan masih terdapat penduduk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap dan sah termasuk pendaftaran kelahiran lewat, perkahwinan campur antara penduduk tempatan dengan warga asing, ketiadaan dokumen pendaftaran perkahwinan serta kelewatan membuat kad pengenalan diri.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu terbabit, malah boleh menjadi masalah berpanjangan kepada anak-anak dan generasi seterusnya sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Katanya, ketiadaan dokumen yang sah boleh menyebabkan anak-anak berdepan kesukaran mendapatkan akses pendidikan, melanjutkan pelajaran, memperoleh pekerjaan yang baik serta menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Justeru, katanya, Program Mahkamah Bergerak amat signifikan dalam membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang telah berlarutan sekian lama, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Program ini membawa perkhidmatan terus kepada rakyat dan memastikan setiap kes yang layak diberikan perhatian serta diproses mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Joachim turut menepis dakwaan bahawa Program Mahkamah Bergerak diwujudkan bagi memudahkan warga asing atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mendapatkan dokumen pengenalan diri atau kad pengenalan tanpa melalui proses yang sah.
Beliau menegaskan persepsi berkenaan tidak benar kerana setiap permohonan perlu melalui proses semakan, penelitian dan pengesahan yang ketat oleh agensi berkaitan.
“Tiada kelulusan diberikan secara sewenang-wenangnya tanpa bukti, dokumen sokongan dan pengesahan yang mencukupi.
“Program ini bukan bertujuan melonggarkan syarat, tetapi membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang tulen dan layak mengikut peruntukan undang-undang negara,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, khabar angin atau maklumat tidak sahih mengenai pelaksanaan Program Mahkamah Bergerak.
Sebaliknya, semua pihak perlu memberikan kerjasama kepada kerajaan, mahkamah dan agensi berkaitan dalam memastikan isu dokumentasi rakyat dapat diselesaikan secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.
Joachim berkata, program berkenaan juga harus dijadikan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menguruskan dokumen penting termasuk pendaftaran kelahiran dan pengemaskinian maklumat sejak dari awal bagi mengelakkan masalah menjadi lebih rumit pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Program Mahkamah Bergerak Siri Keempat di Daerah Ranau, termasuk agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat. –Ateng



