Ewon membeli salah satu produk yang dihasilkan oleh perusahaan sosial tersebut
KOTA MARUDU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan khas sebanyak RM15,000 di bawah Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET bagi membantu keperluan Perusahaan Farni (One Day Station), sebuah perusahaan sosial di Kampung Tonsom, di sini.
Beliau meluluskan peruntukan itu ketika mengunjungi Perusahaan Farni (One Day Station) dan Pusat Pembelajaran Komuniti Kampung Tonsom dalam lawatan kerja rasminya di sini.
Perusahaan Farni mengusahakan produk berasaskan jagung serta sisa daun jagung, selain membimbing golongan ibu di kampung berkenaan menghasilkan produk kraf daripada sisa daun jagung.
“Perusahaan sosial ini bukan sahaja mewujudkan peluang pendapatan kepada komuniti setempat, malah berjaya membangunkan model keusahawanan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan wanita di kawasan luar bandar.
“Saya berbangga melihat usaha dan perjuangan perusahaan ini yang kini mendapat tempahan di tiga hotel bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu, malah produk mereka turut menjadi sebahagian daripada dekorasi hotel-hotel berkenaan,” katanya.
Ewon berkata, pusat itu juga membeli hasil kraf yang dihasilkan oleh ibu-ibu di kampung tersebut sebelum memasarkan produk berkenaan ke pasaran.
Dalam lawatan itu, beliau bersama pegawai-pegawainya turut membeli produk yang dihasilkan oleh perusahaan sosial berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka.
Beliau turut mendapatkan sokongan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada perusahaan sosial itu.
“Saya berterima kasih atas maklum balas segera daripada INSKEN yang akan mengunjungi perusahaan ini bagi meneliti bentuk sokongan yang boleh diberikan,” katanya.
Ewon berharap usahawan sosial, Farni Milis bersama komuniti ibu yang terlibat dalam perusahaan itu terus berjaya mengembangkan perusahaan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.
Terdahulu, Ewon turut menyampaikan replika cek Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET bernilai RM20,000 kepada Persatuan Penduduk Kampung Tagaroh, Kota Marudu bagi menganjurkan program keusahawanan untuk ahli-ahli persatuan.



