ADVERTISEMENTspot_img

Dua kren dermaga baharu tingkat kecekapan operasi Pelabuhan Tawau: Ewon

EWON (kedua kiri) ketika mengiringi Hajiji (tengah) ke upacara ringkas pelancaran dua unit kren dermaga baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.

TAWAU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick yakin perolehan dua unit kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta dapat meningkatkan kecekapan operasi di Pelabuhan Tawau.

Beliau berkata, ia sekali gus membantu menangani isu yang dibangkitkan oleh pemain industri selama ini.

“Dengan adanya jentera baru ini, saya yakin isu-isu yang telah dibangkitkan oleh pemain industri termasuk persatuan-persatuan logistik dapat ditangani dengan baik.

“Saya berharap jentera baharu yang dijangka mula beroperasi September ini dapat membantu meningkatkan kecekapan operasi di pelabuhan utama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada upacara ringkas pelancaran dua unit kren dermaga baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sebaik memulakan tugas sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah pada Mac lalu, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Tawau bagi mendapatkan taklimat mengenai operasi serta perancangan pembangunan oleh Sabah Ports Sdn Bhd selaku operator pelabuhan.

“Saya juga menerima beberapa aduan daripada pemain-pemain industri sebelum itu berkaitan operasi jentera yang ada ketika itu.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet Sabah dan Suria Capital Holdings Berhad selaku parent company Sabah Ports Sdn Bhd diminta untuk meningkatkan kecekapan melalui perolehan jentera-jentera baharu.

“Syukur, hari ini, jentera baharu dua quay crane telah siap dipasang dan kini dalam proses semakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH),” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad, Sabah Ports Sdn Bhd dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah atas kerjasama memastikan perolehan serta pemasangan jentera berkenaan dapat direalisasikan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Suria Capital Holdings Berhad, Sabah Ports Sdn Bhd dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah atas kerjasama menjayakan agenda pembangunan Sabah ini selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN