JUARA……..Pasukan Rumah Biru Beta muncul Juara Kejohanan Sukan Tahunan di Padang Pekan Kecil Sematan
Oleh: Salwah Aramat
SEMATAN: Rumah Biru Beta muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sematan 2026 selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Julai di Padang Awam Daerah Kecil Sematan.
Kejayaan itu menyaksikan Rumah Biru Beta mengetepikan saingan tiga lagi rumah sukan, iaitu Rumah Merah, Rumah Kuning dan Rumah Hijau dalam temasya tahunan yang bertujuan mencungkil bakat serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid.
Majlis penangguhan kejohanan telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abg Aziz Haji Abg Deraup, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.03 Tanjung Datu, Azizul Annuar Pehin Satem.
Dalam ucapan yang disampaikan bagi pihak wakil rakyat berkenaan, beliau berkata kejohanan sukan sekolah bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah, disiplin, semangat kesukanan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid.
Beliau turut menggalakkan murid agar terus aktif dalam bidang sukan kerana penglibatan secara konsisten mampu melahirkan atlet berbakat yang berpotensi mengharumkan nama sekolah, negeri dan negara pada masa hadapan.

TAHNIAH Syabas diucapkan kepada Adam Abdullah dan Aisyah Hazarah Abdullah yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati
Sementara itu, Guru Besar SK Sematan berkata penganjuran Kejohanan Sukan Tahunan merupakan antara program utama dalam kalendar sekolah yang bertujuan mencungkil bakat murid di samping memupuk budaya hidup sihat, semangat kerjasama berpasukan dan daya saing yang positif.
Katanya, penyertaan empat rumah sukan iaitu Rumah Merah, Rumah Biru Beta, Rumah Kuning dan Rumah Hijau membuktikan komitmen tinggi warga sekolah dalam menjayakan temasya berkenaan.
Pada majlis penyampaian hadiah, Rumah Biru Beta dinobatkan sebagai juara keseluruhan, diikuti Rumah Merah sebagai naib juara, manakala Rumah Kuning dan Rumah Hijau masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Bagi kategori individu, Adam Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawan, manakala Aisyah Hazarah Abdullah menerima gelaran Olahragawati atas pencapaian cemerlang dalam beberapa acara yang disertai.
Turut hadir ialah Penolong Kanan SK Sematan, Hashim Zien selaku Ketua Rumah Beta, barisan guru, jurulatih, kakitangan sekolah serta ibu bapa yang memberikan sokongan sepanjang kejohanan berlangsung.
Kejohanan Sukan Tahunan SK Sematan 2026 berakhir dalam suasana meriah dengan penyampaian piala dan pingat kepada para pemenang, sekali gus diharapkan terus menjadi platform melahirkan generasi murid yang cemerlang dalam akademik, berdaya saing dalam sukan serta memiliki sahsiah terpuji.



