ADVERTISEMENTspot_img

Ranau Siap Sedia Sambut 24 Kontinjen pada Kejohanan Olahraga MSS Sabah Ke-58

Barizah


RANAU: Daerah Ranau kini berada pada fasa akhir persiapan bagi menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) Kali Ke-58 yang bakal menghimpunkan 24 kontinjen daerah dari seluruh negeri bermula 20 hingga 24 Julai ini di Kompleks Sukan Ranau.

Majlis perasmian kejohanan dijadual berlangsung pada 19 Julai sebelum pertandingan rasmi membuka tirai keesokan harinya.

Kejohanan olahraga peringkat negeri itu dijangka menjadi pentas terbaik untuk mencungkil bakat atlet sekolah yang berpotensi mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.

Sebagai tuan rumah, Ranau giat melengkapkan persiapan melibatkan pengurusan pertandingan, penyediaan venue, penginapan kontinjen, logistik, keselamatan, kebersihan serta penyelarasan jawatankuasa pelaksana bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar mengikut standard yang ditetapkan.

Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd Kahar berkata pihaknya berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu dan komited memastikan setiap aspek penganjuran berada pada tahap terbaik.

“Pejabat Pendidikan Daerah Ranau bersama seluruh jawatankuasa pelaksana telah membuat persiapan secara menyeluruh bagi memastikan Kejohanan Olahraga MSS Sabah Kali Ke-58 berlangsung dengan lancar, selamat dan mencapai objektif yang ditetapkan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua 24 kontinjen daerah ke Ranau dan berharap setiap atlet, pegawai serta pengurus pasukan dapat menikmati suasana pertandingan yang kondusif, sekali gus mengeratkan semangat kesukanan dan persaudaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejohanan itu turut berperanan membentuk nilai disiplin, kepimpinan, perpaduan dan jati diri murid selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

Menurutnya, pihak penganjur berharap kejohanan berkenaan mampu melahirkan lebih ramai atlet sekolah Sabah yang berdaya saing di peringkat lebih tinggi, selain memperkukuhkan hubungan kerjasama antara semua daerah di negeri ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, semua Pejabat Pendidikan Daerah, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, rakan strategik, sukarelawan dan warga Ranau atas komitmen menjayakan penganjuran kejohanan itu.

Orang ramai dijemput hadir ke Kompleks Sukan Ranau sepanjang kejohanan berlangsung bagi memberikan sokongan kepada atlet-atlet sekolah yang akan beraksi.

Kejohanan yang menghimpunkan penyertaan dari 24 daerah itu dijangka menjadi antara acara sukan sekolah terbesar di Sabah tahun ini, selain mengukuhkan reputasi Ranau sebagai tuan rumah penganjuran kejohanan sukan bertaraf negeri.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN