Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, menyampaikan Anugerah Gemilang Maju Jaya (AGMJ) 2026 kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 (AGMJ) diwujudkan sebagai platform bagi mengiktiraf serta memartabatkan jasa bakti individu yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.
Pengasas merangkap Pengerusi Penganjur AGMJ, Dato Paduka Rehan Hj Rahim, berkata penganjuran anugerah itu turut melambangkan kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan, agensi serta masyarakat dalam menyemai budaya menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan.
Beliau berkata pengiktirafan yang diberikan bukan sekadar penghargaan kepada penerima, malah menjadi simbol kasih sayang, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.
“Saya berharap program seperti ini akan terus menjadi contoh terbaik dalam menghargai insan-insan yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis AGMJ 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS).

Turut terima anugerah (dari kiri)Dato Ramli Sarip, Stacy, Dato Khadijah Ibrahim dan Datuk Freddy Fernandez
Rehan berkata masih ramai individu di luar sana yang layak diberikan pengiktirafan atas sumbangan mereka, justeru para penerima anugerah pada malam itu bukan sahaja mewakili diri sendiri, malah menjadi simbol penghargaan kepada semua insan yang telah berbakti kepada masyarakat.
“Semoga segala usaha ini menjadi amal jariah yang membawa manfaat dan kebaikan kepada semua. Saya juga berharap AGMJ akan terus menjadi wadah mengangkat insan cemerlang, menyemai inspirasi dan membina legasi.
“Ia menjadi bukti bahawa setiap jasa akan terus dikenang, setiap bakti akan sentiasa dihargai dan setiap kecemerlangan wajar diraikan. Semoga segala usaha yang dimulakan hari ini menjadi warisan bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.
Pada majlis itu, pengiktirafan disampaikan kepada penerima daripada pelbagai bidang termasuk seni, media, keusahawanan, akademik, perkhidmatan awam dan swasta serta individu yang telah memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Antara tokoh yang menerima pengiktirafan ialah ikon seni Sabah Datuk Deddy M. Borhan, penyanyi Stacy dan Ayu Damit, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Freddy Fernandez serta ikon sukan negara Datuk Pandelela Rinong, selain beberapa tokoh lain daripada pelbagai bidang.



