ADVERTISEMENTspot_img

Budaya kepenggunaan bijak perlu terus diperkasa : Ghazali

Ghazali bersama Shahril menyampaikan hadiah kepada pemenang di IBorneo semalam

KOTA KINABALU: Budaya kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab perlu terus diperkasakan bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup serta mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil, telus dan berintegriti.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, pengguna hari ini perlu lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan sikap membandingkan harga, membuat pilihan yang tepat serta mengelakkan pembaziran.

Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, peniaga dan pengguna bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Program seperti Fiesta Kepenggunaan merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan secara lebih dekat kepada rakyat.

“Ia juga membuka ruang interaksi secara langsung antara masyarakat dengan agensi kerajaan, sekali gus memperkukuhkan usaha advokasi kepenggunaan yang dilaksanakan oleh KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Majlis Penutupan Fiesta Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah 2026 di One Borneo Shopping Mall, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir samaPengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin.

Sepanjang program berlangsung, orang ramai disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan Eksplorasi Celik Pengguna (X-CAPE), pertandingan mewarna kanak-kanak serta Battle of the Bands (BOTB) yang disertai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Turut diadakan ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, penyerahan Ihsan Food Bank (i-FB) kepada UiTM Cawangan Sabah, IPG Kampus Gaya dan Politeknik Kota Kinabalu. Selain sesi walkabout ke reruai pameran yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.

Program diteruskan dengan Kuiz Kahoot Fiesta, persembahan busking oleh Busska Busker serta penyampaian cenderamata kepada peserta.

Mohammad Ghazali berkata, pendekatan santai dan interaktif mampu menyampaikan mesej kepenggunaan dengan lebih berkesan kepada semua lapisan masyarakat, selain mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada KPDN Sabah, agensi kerajaan, rakan strategik, pempamer serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Fiesta Kepenggunaan KPDN Sabah 2026.

Katanya, segala ilmu dan maklumat yang diperoleh sepanjang program itu diharap dapat dimanfaatkan serta dikongsi bersama keluarga dan masyarakat bagi membudayakan amalan kepenggunaan yang lebih bijak dan berhemah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN