ADVERTISEMENTspot_img

Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo 2026 Zon Ranau Buka Penyertaan

RANAU: Orang ramai khususnya penggiat budaya, penyelidik, usahawan, pelajar dan komuniti tempatan dipelawa menyertai Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) 2026 Zon 3: Ranau yang akan berlangsung pada 25 Julai ini di Dewan Masyarakat Ranau.

Penganjuran pertandingan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Borneo Festival of Ideas 2026 yang disokong Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Bertemakan “Kreativiti Lokal, Impak Global”, pertandingan itu bertujuan menggalakkan pendokumentasian, pemeliharaan dan inovasi terhadap pengetahuan serta amalan tradisional masyarakat Borneo agar terus dipelihara dan dimanfaatkan untuk pembangunan komuniti serta ekonomi setempat.

Menurut penganjur, pertandingan berkenaan turut menjadi platform bagi mengetengahkan idea dan amalan berasaskan warisan tempatan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Penyertaan dibuka dalam tiga kategori utama iaitu Makanan dan Kesihatan Tradisional, Keselamatan dan Kemakmuran Komuniti, serta Seni, Kraftangan dan Peralatan Muzik Tradisional.

Setiap penyertaan akan dinilai berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu keaslian idea atau amalan yang diketengahkan, keberkesanan berdasarkan pengalaman, testimoni atau bukti, serta impak kepada komuniti, negeri dan negara.

Pertandingan itu menawarkan hadiah berbentuk pingat dan sijil dengan Anugerah Permata Kearifan membawa hadiah wang tunai RM500 bagi peringkat negeri dan RM1,000 bagi peringkat Borneo.

Bagi Anugerah Khazanah Terbilang, pemenang akan menerima RM300 di peringkat negeri dan RM750 di peringkat Borneo, manakala Anugerah Ilham Tradisi menawarkan RM200 di peringkat negeri serta RM500 di peringkat Borneo.

Penyertaan adalah percuma dan tarikh tutup permohonan ialah pada 19 Julai ini.

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan penyertaan melalui borang dalam talian yang disediakan oleh penganjur atau menghubungi urus setia bagi mendapatkan maklumat lanjut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN