ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Persekutuan perlu dapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum perkenalkan undang-undang baharu – UPKO Tuaran

TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran meluluskan usul menggesa Kerajaan Persekutuan mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum memperkenalkan sebarang pindaan undang-undang Persekutuan melibatkan hak, kuasa dan kepentingan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pegawai Penerangan UPKO Bahagian Tuaran, Salbinous Saribun berkata, setiap pindaan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan atau dasar nasional yang menyentuh hak, kuasa, autonomi, bidang kuasa atau kepentingan Sabah hendaklah terlebih dahulu melalui proses libat urus serta memperoleh persetujuan seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan dan semangat MA63.

Beliau berkata, UPKO Tuaran turut memohon Kerajaan Persekutuan menggubal satu mekanisme konsultasi tetap berstatus rasmi, berstruktur dan mempunyai kekuatan undang-undang bagi memastikan Kerajaan Sabah dan Sarawak dilibatkan secara wajib dalam semua cadangan pindaan undang-undang atau dasar yang memberi kesan kepada kedua-dua wilayah berkenaan.

“UPKO Tuaran juga memohon Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Suruhanjaya atau Jawatankuasa Bebas bagi mengkaji semua pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan sejak 1963 yang melibatkan hak-hak Sabah dan Sarawak, serta mengemukakan syor pembetulan sekiranya didapati tidak selaras dengan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul itu pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran Ke-17 di Dewan Tun Hamdan, di sini, semalam.

Mesyuarat itu disempurnakan oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.

Salbinous menegaskan bahawa pemulihan hak-hak Sabah hendaklah dilaksanakan melalui pendekatan berasaskan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian asal pembentukan Malaysia demi mengukuhkan perpaduan Persekutuan.

Selain itu, katanya, semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pemimpin politik, pertubuhan masyarakat sivil, badan profesional, institusi akademik dan rakyat Sabah perlu bersama-sama mempertahankan hak-hak perlembagaan Sabah melalui pendekatan yang sah, berhemah, berfakta dan berteraskan undang-undang.

Beliau berkata, usul itu turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Tetap UPKO Mengenai Hak Perlembagaan Sabah yang bertanggungjawab mengkaji semua cadangan pindaan undang-undang Persekutuan yang memberi kesan kepada Sabah, menyediakan analisis perundangan dan dasar, mengemukakan memorandum kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, bekerjasama dengan pakar perlembagaan, institusi akademik serta badan masyarakat sivil, selain menerbitkan laporan tahunan mengenai status perlindungan hak-hak perlembagaan Sabah.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan menjadikan perlindungan hak-hak Perlembagaan Sabah sebagai agenda perjuangan utama UPKO di semua peringkat bagi memastikan semangat pembentukan Malaysia, prinsip federalisme, kedaulatan Perlembagaan dan hak-hak Sabah terus dihormati serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Salbinous berkata, usul berkenaan dibuat berasaskan kedudukan Sabah sebagai wilayah pengasas Malaysia bersama Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura pada 16 September 1963 menerusi MA63, Laporan IGC serta Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, MA63, Laporan IGC dan Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya dokumen perundangan yang menjadi asas pembentukan Malaysia dan terus mengikat semua pihak sehingga hari ini.

Beliau berkata, usul itu juga mengambil maklum bahawa Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pindaan terhadap perkara tertentu yang menyentuh hak, kedudukan dan kepentingan Sabah serta Sarawak hanya boleh dibuat selepas memperoleh persetujuan Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

Menurutnya, sejak pembentukan Malaysia, beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan undang-undang Persekutuan, termasuk Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Perikanan 1985, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 telah memberi kesan secara langsung atau tidak langsung terhadap hak, bidang kuasa dan autonomi Sabah.

“Usul ini juga mengambil kira keputusan Mahkamah dalam kes Robert Linggi v Government of Malaysia yang mengesahkan Perkara 161E merupakan satu perlindungan perlembagaan yang mempunyai kesan undang-undang dan bukannya sekadar formaliti pentadbiran.

“Kegagalan mengadakan libat urus yang bermakna serta mendapatkan persetujuan sewajarnya sebelum sesuatu pindaan dibuat boleh menimbulkan persoalan terhadap kesahihan proses perundangan, selain menjejaskan keyakinan rakyat Sabah terhadap prinsip federalisme, kedaulatan undang-undang dan semangat pembentukan Malaysia,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN