Jonathan (kiri) dan Dr Joachim semasa mesyuarat tersebut dijalankan
RANAU: Kemajuan pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik, khususnya Projek Lebuhraya Pan Borneo, bekalan utiliti serta isu kesesakan lalu lintas menjadi antara fokus utama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Ranau Bil. 2/2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Ranau, baru-baru ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, itu merupakan platform utama bagi menyelaras pelaksanaan projek pembangunan di daerah ini, di samping membincangkan pelbagai isu semasa yang memerlukan tindakan dan kerjasama antara agensi bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan serta mengikut jadual yang ditetapkan.
Turut menghadiri mesyuarat ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah serta ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; dan ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman.
Hadir sama ialah wakil daripada Lembaga Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPPB), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri di daerah Ranau.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah perkembangan terkini pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo melibatkan Work Package (WP) 33, WP34 dan WP35, yang merupakan antara projek infrastruktur terbesar di daerah Ranau dan dijangka memberi impak besar kepada sistem perhubungan serta pembangunan ekonomi kawasan pedalaman.
Mesyuarat turut meneliti isu kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di laluan Mesilou–Kundasang, Kundasang–Ranau dan sekitar Pekan Ranau, dengan pelbagai cadangan dikemukakan bagi meningkatkan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya.
Selain itu, ahli mesyuarat turut menerima taklimat mengenai perkembangan Pekan Kecil Paginatan, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan kemudahan awam yang lebih baik kepada penduduk setempat.
Status pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) serta keadaan semasa bekalan elektrik di daerah Ranau turut dibincangkan, sejajar dengan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kualiti kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Mesyuarat JTPD Ranau terus memainkan peranan penting sebagai platform penyelarasan pembangunan daerah dengan menghimpunkan pemimpin kerajaan, wakil rakyat dan agensi pelaksana bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut perancangan serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat. Melalui pemantauan yang berterusan dan kerjasama erat semua pihak, pelaksanaan agenda pembangunan di Ranau diyakini akan dapat dipercepatkan demi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat.



