Julita ketika senamrobik bersama Komuniti Kawasan Rukun Tetangga.
MATUNGGONG : Trend penyalahgunaan dadah di kawasan luar bandar terutama dalam kalangan belia semakin membimbangkan dan memerlukan usaha pencegahan yang lebih menyeluruh.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, trend penyalahgunaan dadah merupakan antara cabaran sosial yang semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Isu ini bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal dan mental individu, malah turut menjejaskan institusi keluarga, meningkatkan risiko jenayah serta mengancam keharmonian komuniti.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah penyalahgunaan dadah kini tidak lagi tertumpu di kawasan bandar, malah turut menular ke kawasan luar bandar dan melibatkan golongan belia.
“Oleh itu, usaha pencegahan perlu diperkasakan melalui pendidikan, kesedaran awal dan kerjasama erat antara kerajaan, agensi penguatkuasaan, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat, ibu bapa serta seluruh anggota komuniti.
“Pencegahan yang berkesan bermula daripada komuniti yang prihatin dan berani bertindak.
“Oleh itu, agensi kerajaan memainkan peranan penting untuk mengatasi permasalahan itu.
“Keperluan menganjurkan pelbagai program yang melibatkan komuniti setempat perlu dilaksanakan secara aktif dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program KWKKR With You: Memperkasa Komuniti Melalui Kesihatan, Kesedaran dan Keharmonian di Dewan Terbuka Matunggong, pada Sabtu.
Sementara itu, Julita yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah berkata program tersebut menjadi platform interaktif dan inklusif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan sosial.
“Program turun padang seperti itu bukan sahaja mendekatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Selain itu, pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan, senamrobik, sukaneka dan kempen derma darah turut diadakan bagi membudayakan gaya hidup sihat serta menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian komuniti,” jelasnya.
Menurutnya, program itu merupakan anjuran KWKKR dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Turut hadir, Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong yang juga Setiausaha Kehormat PEMADAM Negeri Sabah, Pengarah JPNIN Negeri Sabah, Rina Ab Harun; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin, serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri./Penerangan–



