ADVERTISEMENTspot_img

Jonathan Mahu Atlet Ranau Seimbang Akademik dan Sukan, PPD Puji Pencapaian Tujuh Rekod Baharu

Datuk Jonathan menyampaikan Piala kemenangan kepada peserta yang telah mengambil bahagian pada Kejohanan itu diiringi Barizah bersama Pegawai yang hadir.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyeru pelajar supaya mengekalkan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam bidang sukan serta kokurikulum bagi melahirkan generasi yang berdaya saing dan berakhlak.

Berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Ranau di sini, beliau berkata kejohanan itu bukan sekadar medan memburu kemenangan, sebaliknya platform penting untuk membentuk sahsiah, disiplin, semangat berpasukan dan daya tahan dalam kalangan pelajar.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau atas kejayaan menganjurkan kejohanan itu dengan lancar serta merakamkan penghargaan kepada guru, jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada para atlet.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua atlet yang berjaya merangkul pingat. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan sekolah, malah mengharumkan nama daerah Ranau,” katanya.

Jonathan turut menekankan bahawa sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan dan motivasi anak-anak untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan.

Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan sukan di daerah itu, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada PPD Ranau.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd. Kahar berkata kejohanan kali ini mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila tujuh rekod baharu berjaya dicipta dalam pelbagai acara dan kategori.

Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti peningkatan prestasi atlet sekolah di daerah Ranau hasil komitmen guru, jurulatih serta kesungguhan para pelajar dalam latihan dan pertandingan.

Barizah turut mengingatkan atlet yang terpilih mewakili daerah ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Negeri Sabah supaya terus meningkatkan disiplin, memperhebat latihan dan mengekalkan prestasi cemerlang.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Ranau telah dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan MSSM Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada Julai depan, sekali gus membuktikan keupayaan daerah itu untuk menganjurkan kejohanan sukan berskala lebih besar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN